Laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg bahawa ‘Ringgit adalah matawang yang terkuat di Asia’ dipertikaikan oleh penganalisis ekonomi dan pelabur asing di Malaysia.
Salah seorang, Jameson Tan, pelabur asing yang memiliki kilang di Sungai Buloh, Selangor berkata berita tersebut amat diragui kerana Ringgit masih lemah berbanding matawang Singapura.
“Rakyat Malaysia masih terpaksa mengeluarkan lebih dari RM3 untuk mendapat 1 Dollar Singapura (SGD1).
“Saya langsung tidak mempercayai berita Ringgit adalah matawang yang kuat di Asia. Selain dari itu, Ringgit masih berada di atas paras RM4 lebih untuk 1 Dollar Amerika (USD1).
“Mungkin laporan tentang kekuatan Ringgit adalah untuk memberi keyakinan kepada pelabur asing sebelum pilihan raya umum diadakan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau memberitahu rakan usahawannya ketawa apabila mendapat tahu berita tersebut dan mereka menganggap hal itu tidak benar sama sekali.
“Hakikatnya kalau pilihan raya umum tidak diadakan pada tahun ini, para pelabur akan hilang keyakinan kerana kita sedang mendapat gambaran kerajaan Malaysia amat perlukan dana dengan pelancaran Cukai Pelancongan pada 1 Ogos nanti,” sambung Jameson.
Beliau berkata ramai usahawan tempatan memberitahu mereka telah membuat perancangan kewangan untuk pilihan raya umum pada bulan Mei lalu tetapi tiada pilihan raya umum diadakan dan kali ini mereka telah membuat perancangan kewangan untuk Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14) pada bulan September atau awal Oktober.
Namun jika masih gagal diadakan, katanya, ia menggambarkan Kerajaan BN mungkin tidak berkemampuan mengurus-tadbir dari segi kewangan dan justeru itu terpaksa melengah-lengahkan PRU sampai saat-saat terakhir penggal pemerintahan.
“Kalau Kerajaan BN mahu menunjukkan mereka adalah kerajaan yang berupaya dan berani, mereka pasti sudah mengadakan pilihan raya pada bulan Mei lalu.
“Kini orang ramai termasuk golongan usahawan sudah menjangka mungkin isu 1MDB telah menjadi satu gangguan selain dari dana yang kekurangan akibat turunnya harga minyak di pasaran dunia.
“Walaupun demikian, kita sedang menunggu pilihanraya umum pada tahun ini. Sila buat cepat sedikit,” gesa Jameson.