Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang dinasihatkan supaya memilih individu yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang tertentu sebelum dilantik memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Setiausaha Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed berkata, saranan itu adalah supaya GLC berkenaan tidak mengalami kerugian besar seperti yang pernah dilalui semasa pentadbiran kerajaan BN.
“Mereka yang nak menerajui GLC ini sepatutnya dipilih dalam kalangan golongan profesional, berkemampuan dan ada kebolehan tertentu.
“Kerajaan negeri hendaklah memilih mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang berkenaan. Jangan semberono lantik orang politik dalam GLC,” katanya.
Bekas Adun Sungai Dua itu berkata, peringatan awal tersebut dilontarkan berdasarkan pengalamannya sewaktu bersama BN suatu ketika dahulu.
“Sebab itu kita lihat berlaku banyak penyelewengan dan kepentingan diri kerana mereka masuk dalam GLC pun atas tujuan itu, bukan nak membina kebaikan untuk negara.
“Orang lain pun profesional juga, tapi tahap itu kena ada lah. Pilihlah orang yang ada kebolehan dalam bidang tertentu, barulah GLC tersebut akan berjaya.
“Pimpinan kerajaan negeri wajar mempertimbangkan perkara ini demi memastikan pentadbiran GLC berjalan lancar,”katanya.