Keganasan samseng Umno BN yang berleluasa dua bulan kebelakangan ini tidak mustahil dirancang untuk mendaruratkan negara.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tidak menolak seandainya samseng Umno BN bertindak lebih ganas maka keadaan darurat sebagaimana yang berlaku di Kelantan pada 1978 akan berulang.
“Tidak mustahil (darurat diisytihar). Di Kelantan cukup dengan membakar tayar dan tunjuk perasaan maka Mageran (pemerintahan darurat) dilaksanakan di negeri itu pada 1978.
“Tetapi kerajaan BN jangan pergi sampai ke tahap itu. Jangan mencari ruang untuk mengelak dari dihukum rakyat melalui pilihan raya,” katanya.
Mahfuz melihat budaya samseng akan menjadi ancaman kepada kesuburan demokrasi. Pilihan raya tidak lagi dihiraukan dan pilihan rakyat diketepikan dengan taktik ganas lagi kejam sekumpulan pemimpin yang mahu mempertahankan kuasa.
“Budaya ganas ini akan memusnahkan demokrasi. Mereka tidak dapat menerima hak rakyat untuk memilih kerajaan melalui proses undian.
“Peranan samseng untuk mewujudkan suasana takut dan tidak tenteram. Rakyat yang takut akan mudah diperkuda dan diperbodohkan,” sinis Mahfuz.