Penghijrahan Datuk Seri Lajim Ukin dari pemimpin utama Umno Sabah ke Pakatan Perubahan Sabah yang pro Pakatan Rakyat benar-benar menjadi kejutan hebat dalam politik Malaysia. Khususnya politik Sabah. Peralihan sokongan ini sama dahsyatnya ketika Pairin Kitingan menyatakan sokongan kepada Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1990 lalu yang menyaksikan BN kalah di Kelantan dan Sabah.
Ikuti temubual penuh bersama Lajim:
S: Penyertaan Datuk Seri ke Pakatan Rakyat (PR) melalui Pakatan Perubahan Sabah (PPS) , apa sebenarnya PPS?
Lajim: Oleh kerana masa ini kita tidak ada parti berdaftar maka kita tubuhkan PPS. Dengan tujuan kita berjuang bersama-sama pembangkang sama ada dari Semenanjung atau Sabah. Kita sama-sama pertahankan hak-hak orang Sabah
Pakatan sedemikian akan mendokong perjuangan KEADILAN, PAS, DAP atau parti-parti pembangkang di Sabah. Kita memikir untuk mendaftar parti baru tetapi sudah banyak parti-parti yang didaftarkan. Difahamkan Sabah ada lebih 10 parti yang mengemukakan pendaftaran tetapi belum lulus.
Jika sekiranya parti-parti tersebut lulus , kita akan menimbangkan parti mana pilihan kita dan kita akan terajui bersama.
S: Bagaimanakah gelombang kebangkitan rakyat di Sabah
Lajim: Sambutan rakyat Sabah cukup memberangsangkan. Saya mendapat maklum balas dari rakan-rakan diperingkat akar umbi bahawa rakyat pelbagai kaum inginkan perubahan. Terutamanya perubahan status kerajaan. Mereka ingin sebuah kerajaan baru ditubuhkan di Sabah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan dapat bertindak ke atas isu-isu yang amat menakutkan rakyat Sabah
S: Isu apakah yang menakutkan rakyat
Lajim: Isu utama adalah pendatang tanpa izin yang berleluasa. Tidak ada tindakan konkrit oleh kerajaan pusat. Ini kuasa kerajaan pusat. Oleh itu, kita harap kerajaan pusat berubah (dalam PRU). Dengan kerjasama kerajaan pusat baru, satu Suruhanjaya DiRaja perlu dibentuk untuk menyiasat kehadiran pendatang tanpa izin, termasuk pengeluaran kad pengenalan palsu atau diragui .
Kedua masalah pembangunan . Sabah masih ketinggalan jauh dalam semua aspek berbanding Semenanjung.
Kita akan suarakan masalah ini , sama ada oleh PPS atau Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan kerajaan pusat (yang baru) ambil perhatian serius mengenai masalah-masalah itu. Begitu juga dari segi agihan peruntukan prasarana luar bandar, pendidikan, kesihatan dan lain-lain yang masih ketinggalan jauh berbanding Semenanjung. Kita tidak cemburu. Tetapi kita telah puluhan tahun merdeka bersama -sama persekutuan, jadi tidak boleh ditinggalkan.
S: Bolehkah berlaku perubahan di peringkat negeri ketika ramai pendatang tanpa izin diberi kad pengenalan dan boleh mengundi
Lajim : Seluruh rakyat asal Sabah yang menjadi pengundi 800,000 orang. Jika semua turun mengundi, walau pun ada pertambahan (pengundi asing) tetap tidak mengatasi pengundi-penngundi asal Sabah.Orang asal Sabah perlu turun mengundi sehingga 80 peratus.
S; Mengapakah PPS dan APS tidak bergabung?
Lajim: Itu satu identiti, PPS diketuai bumiputera beragama Islam (manakala) APS untuk bumiputra bukan beragama Islam. Kita buat supaya ada persefahaman dan hala tuju masing-masing yang bermatlamat bekerjasama dengan PR
S; Rakyat Sabah tertanya-tanya mengapa apabila hampir PRU baru kerajaan pusat umum siasat IC palsu dan sebagainya
Lajim: Itulah yang mengecewakan rakyat Sabah. Di saat akhir baru ada penubuhan Suruhanjaya DiRaja , pengumuman air dan sebagainya. Kenapa sekarang, bukan 10 atau 20 tahun lepas. Kita merdeka sudah lebih 50 tahun. Sabah dan Sarawak sama-sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
S: Ada yang mempertikai kenapa Datuk Seri tidak utarakan masalah Sabah di parlimen
Lajim: Di pihak kerajaan saya tidak boleh menyuarakannya (di Parlimen) sebab saya Timbalan Menteri, sebahagian kabinet persekutuan. Tetapi di dalam majlis-majlis tertentu, dalam MT Umno atau dalam perhimpunan tertentu saya suarakan.
Bila saya lantang maka saya dianggap penentang kerajaan. Pada saya, apa yang disuarakan itu sesuatu yang perlu diselesaikan oleh kerajaan kerana mereka ada kemampuan. Misalnya ketiadaan bekalan air, elektrik sering terputus, jalan raya belum sempurna dan lain-lain
S: Maknanya saluran menyuarakan masalah dari dalam sudah tertutup
Lajim: (Mungkin) ada tapi nampaknya agak perlahan. Terdapat anggapan Sabah fix deposit dan sokongan tidak akan berubah (walau masalah tidak selesai) tetapi pada kita kalau simpan fix deposit di bank dan kadar faedah turun maka kita kena tukar ke bank yang lain. Begitulah jika Sabah dianggap simpanan.
Kalau dianggap penyumbang kekuatan BN diperingkat persekutuan maka seharusnya kita diberi perhatian yang menyeluruh mengenai masalah yang dihadapi
S: Adakah rakyat yakin kepada PPS sebab sejarah Sabah mengalami banyak pertukaran kerajaan
Lajim: Rakyat sudah buat keputusan lebih awal. Contohnya di kawasan saya ada ketua cawangan, malah yang masih pegang jawatan dalam kerajaan sudah lebih awal sertai KEADILAN. Ada yang bayar RM200 ahli seumur hidup. Maknanya rakyat peringkat akar umbi sudah tahu menilai apa sepatutnya mereka lakukan untuk kebaikan Sabah dan generasi akan datang
S: Harapan sekiranya PR memerintah
Lajim: Dalam buku yang kita keluarkan: ‘Halatuju Aspirasi Rakyat Sabah’, di situ jelas tuntutan yang dikemukakan rakyat. Itu kita akan kemukakan kepada kerajaan (pusat) baru, supaya bukan sahaja mereka teliti, tetapi mereka ambil tindakan dalam tempoh yang sepatutnya. Kita yakin kerajaan pusat lebih banyak kuasa daripada kerajaan negeri (realisasi tuntutan). Kerajaan harus prihatin akan kehendak rakyat Sabah
S: Perubahan di peringkat negeri pernah berlaku tetapi di peringkat pusat kali pertama. Sejauh mana ianya realistik
Lajim: Banyak negara yang merdeka hampir sama dengan Malaysia telah berubah. Di Indonesia, Golkar jatuh, di India Parti Kongres jatuh, parti LDP Jepun pun jatuh. Di Singapura dalam PRU yang lepas agak membimbangkan. Tidak hairan di negara kita rakyat sudah matang, terutama di kalangan generasi muda, mereka ingin membentuk kerajaan yang betul-betul menjiwai rakyat
Perlu satu dasar konkrit melibatkan generasi muda, wanita dan seluruh rakyat . Kita akui Malaysia pelbagai kaum; ada Melayu, India, Cina dan Orang Asli. Di Sabah ada lebih 31 suku kaum. Aspirasi mereka perlu diambil kira.
S: Mungkinkah lebih banyak ahli politik Sabah akan sertai PPS
Lajim: Banyak yang akan sertai kita termasuk yang masih pegang jawatan. Tetapi mereka maklumkan kepada saya supaya lancar PPS dulu kemudian satu demi satu akan sertai kita. Termasuk bekas-bekas wakil rakyat dan pemimpin di peringkat negeri, kawasan juga pesara kerajaan yang sedia membantu.
[Temubual ihsan keadilandaily]