Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, serangan di ceramah Merdeka Rakyat diketuai Pemuda Umno Gombak, adalah tindakan pencerobohan.
“Bila ada satu pihak menceroboh masuk, adalah tugas polis supaya jangan sampai berlaku pertumbahan darah.
“Tugas Polis menjaga harta orang ramai. Kalau nampak dia (Pemuda BN) masuk, jangan benarkan,
“Polis kena adil jalankan tugas. Masa saya jadi Inspektor di Melaka, ikut Seksyen 27 Akta Polis, kalau nak buat ceramah kena permit. (Tujuannya) polis nak tengok susulan adakah timbulkan keadaan tak tenteram. Kita tak mahu orang berceramah bersebelahan,” katanya pada forum ‘Wacana Sinar Harian: Politik Samseng Di Mana Maruah Kita’ di Auditorium Karangkraf..
Musa merujuk serangan dibuat kira-kira 100 Pemuda BN pada ceramah Merdeka Rakyat di Batu 8, Kampung Gombak Utara, 4 Disember lalu.
Dalam insiden tersebut, seorang hadirin cedera parah ditikam kerambit, manakala Ketua PAS Cawangan Gombak Utara, cedera dikepala akibat dibaling serpihan pasu.
“Tugas Polis untuk tentukan keselamatan orang awam. Bukan bertembung dan bergaduh. Keselamatan adalah penting. Malu bila tengok politik bertikam,” kata Musa.
Tambahnya, adalah menjadi hak kepada mana-mana pihak untuk mengadakan ceramah di tempat terbuka, apatah lagi dalam premis persendirian.
“Mereka berhak. Hanya bagi notis. Kalau di tempat awam, kena ada permit. Tempat sendiri tak perlu. (Kalau) saya ada, tak letak berdekatan. Sebelum berlaku, cegah dulu,” katanya.
Pada sidang media sejurus selepas Forum, Musa turut berpesan kepada kerajaan dan PDRM agar tidak perlu menghantar pegawai Cawangan Khas (SB) bagi mengekori pergerakannya.
“Mereka ingat saya masuk pembangkang. Tak adalah. Tak payahlah ikut-ikut saya. Banyak kerja lain yang boleh dibuat pihak berkuasa. Saya hanya minta betulkan,” katanya merujuk teguran dibuatnya kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein minggu lalu.