Hakim Mahkamah Seksyen Shah Alam membebas dan melepaskan Mohd Yahya Mat Sahri, bekas pegawai kanan kepada Menteri Besar Selangor dari dakwaan menipu lima tahun lalu.
Dalam keputusan penghakiman kurang lima minit itu, Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membebaskan Mohd Yahya setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tuduhan di luar keraguan munasabah bahawa Mohd Yahya telah melakukan kesalahan dimaksudkan.
Mohd Yahya didakwa dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dituduh mendorong Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Abdul Karim Munisar menyerahkan RM50,000 sebagai sumbangan untuk program acara sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat pada 2008.
Beliau diatas kapasitinya sebagai pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor ketika itu didakwa kononnya telah menyalahgunakan kepala surat Menteri Besar bagi tujuan membuat kutipan tersebut di Gardenia Coffee House, Hotel Quality Shah Alam pada 4 Jun 2008 lalu.
Keputusan yang dibacakan Hakim Azhaniz merupakan pembebasan kali kedua Mohd Yahya diatas pertuduhan sama.
Pada 20 Mei 2011, Mohd Yahya dilepas dan dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan menipu bagi mendapatkan sumbangan Majlis Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat selepas hakim Azhaniz Teh berpuas hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohd Yahya diwakili peguam Ahmad Nizam Abd Hamid, Suresh Thanabasi, dan R.Tirukumaran.