Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membuktikan kerajaan Malaysia masih lemah memahami konsep “political cartoon”, tegas pengerusi dan pengasas Kumpulan Kartunis Indipenden (KKI) Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque
Zunar menegaskan perkara tersebut setelah selesai perbicaraan mahkamah rayuan, di sini.
“‘Political cartoon’ perkara biasa dalam sebuah negeri membangun, dan perlu ada dalam sebuah negara demokrasi.
“Akan menjadi masalah jika kerajaan dan kehakiman masih tidak memahami konsep ‘political cartoon’. Saya akan serahkan buku-buku saya kepada hakim. Saya akan terangkan dan pastikan mereka faham apa itu ‘political cartoon’,tambahnya lagi.
Zunar turut mempersoalkan keputusan mahkamah yang menganggap buku karyanya tidak menyalahi undang-undang tetapi beliau ditahan polis tanpa hujah yang kukuh.
“Mereka (mahkamah) menyatakan buku saya tiada masalah. Bagaimana saya yang menerbitkan buku tersebut boleh ditangkap dan direman?,”katanya.
Beliau juga secara tegas menyatakan pendiriannya menentang kezaliman melalui seni dan lukisan.
“Melalui cara saya (lukisan dan karya kartun), saya akan terus melawan, saya akan lawan habis-habisan,” katanya.
Mahkamah Rayuan pada hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas yang memutuskan bahawa tindakan polis menahan Zunar pada 24 September 2010 adalah sah menurut undang-undang.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati rampasan buku “Cartoon-0-Phobia” tidak sah dan polis diperintah membayar ganti rugi dan memulangkan semula buku-buku tersebut.