Pemuda PAS Perak terkejut dengan sikap Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir yang ‘tiba-tiba’ melenting apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyentuh isu ‘Raja Bomoh’. Sedangkan tiada seorang pun menyebut nama Datuk Seri Zambry yang ‘dikaitkan’ dengan ‘Raja Bomoh’, Datuk Ibrahim Mat Zin yang berasal dari Perak.
Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berasa hairan melihat secara tidak langsung Datuk Seri Zambry bangun untuk mendapatkan penjelasan ketika perbahasan titah ucapan dibuat oleh ADUN Kawasan Titi Serong, Haji Abu Bakar Hussien. Katanya, tindakan Dr Zambry itu tidak perlu kerana beliau berpeluang mengulas dalam penggulungan ucapannya nanti sebelum sidang DUN tamat pada hari Jumaat.
“Banyak pihak hairan (terhadap tindakan Zambry) terutama yang berada di dalam Dewan mahupun yang mengikutinya melalui internet.
“Sebelum ini Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria telah menggesa agar Datuk Ibrahim bertaubat kerana telah mengamalkan perbuatan khurafat dan syirik. Bagi kami, Datuk Seri Zambry adalah seorang yang berpendidikan aliran Islam dan mustahil beliau boleh bersetuju dengan perbuatan Datuk Ibrahim yang terpesong dengan ajaran Islam.
“Kami menunggu respon ucapan penggulungan sama ada Datuk Seri Zambry bersetuju atau tidak dengan tindak tanduk Datuk Ibrahim tersebut. Jika tindak tanduk yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Sepang telah diambil tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor, bagaimana pula ianya telah berlaku tindak tanduk yang sama di Pulau Sembilan, dekat Bandar Manjung?
“Kami juga menunggu tindak terhadap Datuk Ibrahim oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Kerajaan Negeri Perak. Dan kami menunggu pengumuman Datuk Seri Zambry pada hari Jumaat ini apakah tindakan terhadap Datuk Ibrahim.
“Tetapi jika Datuk Ibrahim ‘dibebaskan’ oleh Datuk Seri Zambry, rakyat boleh menilai watak sebenar Datuk Seri Zambry yang berlatar belakangkan aliran Islam dan ‘anak emas’ Tan Sri Harussani sebenarnya,” kata beliau.