Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu didapati melonjakkan harga barang melebihi daripada kenaikan yang dijangkakan.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, kenaikan di sesetengah tempat menghampiri kadar 20 peratus selepas dua minggu pelaksanaan cukai tersebut.
Hal ini, katanya, kerana kebanyakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga bagi menampung kos-kos sampingan, termasuk modal yang dikeluarkan untuk membeli perisian GST bernilai RM2000 hingga RM5000.
“Selepas seminggu GST dilaksanakan harga barang naik sehingga 20 peratus, saya buat tinjauan di pasaraya-pasaraya dan tanya peniaga tentang kenaikan ini, mereka cakap ia kerana GST dan banyak kos-kos lain terpaksa dialihkan kepada pengguna.
“Apa yang kita bantah ialah penguatkuasaan lemah kerajaan kerana mereka tidak mampu pantau peniaga yang mengambil kesempatan. Kerajaan kelihatan tak ada mekanisme untuk atasi masalah ini,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Tambah Azan, peningkatan kos hidup adalah ancaman kepada rakyat kerana mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan makanan, perubatan dan sebagainya.
“Ini ancaman kepada rakyat terbanyak. Sebelum ini perbelanjaan mereka mencukupi tetapi sekarang lebih daripada bajet, terpaksa potong kos perubatan, belanja anak-anak dan lain-lain. Kalau macam ini taraf dan kualiti kehidupan akan menurun. Sebab itu rakyat kena bangkit melawan GST,” ujarnya.