Oleh: Khaulah Azwar
Kebangkitan besar-besaran rakyat Sarawak mula kelihatan momentumnya. Bukan sahaja ceramah DAP di bandar-bandar besar negeri itu dibanjiri puluhan ribu rakyat namun ceramah PAS di kawasan pendalaman pun diikuti oleh ramai pendengar. Ternyata rakyat Sarawak tidak lagi takut apatah lagi curiga terhadap parti dan pemimpin yang datang dari Semenajung. Seolah-olah kebangkitan pra-PRU 2008 sedang melanda seluruh Sarawak tanpa mengira suku kaum, agama dan lokaliti.
Menurut Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof situasi di Sarawak amat memberangsangkan. BN semakin terdesak dalam mempertahankan kubu-kubu kuat mereka di bandar-bandar besar. Dalam pada itu harapan untuk menang mudah di kawasan luar bandar majoriti Iban dan Melanau juga agak tipis di beberapa kawasan berdepan saingan sengit PAS dan PKR. Zailah yang turut berkempen beberapa hari di Sarawak mengakui fenomena penolakan terhadap Taib Mahmud sangat hebat melanda negeri itu sepertimana rakyat Arab menolak para diktator di negara mereka.
“Kita dengar suara hati rakyat Sarawak dalam tempoh kempen yang dijalankan. Rakyat di situ marah dengan apa yang berlaku. Malah isu yang dimainkan UMNO-BN, seperti isu video seks untuk menjatuhkan Datuk Sri Anwar Ibrahim tidak laku untuk mempengaruhi rakyat Sarawak.
“Rakyat Sarawak menyatakan semua isu UMNO-BN tidak masuk akal. Mereka sudah tahu taktik kotor BN yang sanggup buat apa sahaja untuk menang. Jadi isu-isu yang digunakan dalam kempen di media BN tidak diterima. Bahkan sepanjang Taib mentadbir negeri kebajikan rakyat tidak dijaga walaupun sudah acapkali disuarakan kepada BN.
“Mereka mengadu setiap rungutan dan rayuan tidak diendahkan. Oleh itu riwayat pemerintahan Taib yang zalim perlu ditamatkan. Biarpun bendera-bendera dipasang di sekeliling rumah mereka tetapi pengundi mengakui hati mereka sudah tawar untuk menerima Taib/BN.
“Mereka kata, kami inginkan pemimpin muda yang beribawa, jujur, amanah dan sentiasa mengutamakan rakyat, bukan kepentingan peribadi dan kroni-kroni. Kami orang Sarawak sudah pasti akan mengundi Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihanraya,” kata Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang ketika ditemui dalam sessi usrah Muslimat PAS DUN Batu Caves kelmarin di Pusat Komuniti MPS Cawangan Taman Selayang.
Tambah beliau lagi, kekayaan luar biasa Taib telah terbongkar. Rakyat Sarawak semakin celik maklumat. Mereka amat marah. Taib mengumpul kekayaan sepanjang 30 tahun pemerintahannya, sedangkan rakyat Sarawak kekal hidup susah dan menderita.
“Setelah sekian lama mentadbir negeri itu Taib hanya mengaut keuntungan untuk dirinya dan kaum keluarga. Sarawak bumi kaya tetapi sayang rakyat terus miskin.
“Kita pasti rakyat seluruh Malaysia sudah mengenali Taib Mahmud. Rahsianya telah terbongkar sepanjang kempen pilihanraya ini. Beliau mempunyai harta kekayaan yang merimpah ruah di bumi Sarawak malah di mana-mana sahaja tidak kira dalam negara mahupun di luar negara yang berbentuk harta, tanah dimiliki oleh Taib atau keluarga terdekatnya,” ujar Zailah.
Bagi beliau, gelombang perubahan di Sarawak diharap mampu menyuntik semangat rakyat di Semenanjung untuk berubah pada PRU akan datang. Katanya, Pakatan Rakyat dan para aktivisnya harus bekerja kuat mulai dari sekarang menjelang PRU ke 13 yang diramal akan diadakan pada tahun ini
“Perubahan peralihan pentadbiran ini perlu dibuat sama ada dalam PRN Sarawak mahupun Pilihanraya Umum yang bakal menyusul dalam bulan Jun tahun ini.
“Rakyat Malaysia seharusnya sedar sepanjang 50 tahun pentadbiran UMNO-BN, semua kekayaan yang pemimpin mereka ada, sebenarnya adalah hasil negara yang telah dicuri semasa mereka mentadbir negara tanpa disedari oleh rakyat. Rakyat Malaysia ditindas dengan berbagai cara berikutan dengan kenaikan harga barang, petrol dan sebagainya.
“Saya menyeru semua penyokong-penyokong dan AJK pengurusan Parti di bawah Pemerintahan PR harus mengaktifkan gerak kerja mereka. Kita tidak ada masa untuk berisytirehat lagi kerana PRU 13 semakin hampir,” tegas Zailah.