Ipoh: Penduduk telah menunggu selama 14 tahun untuk mendapatkan hak milik kediaman yang sah dari kerajaan Perak. Namun tidak ada pembelaan dari kerajaan BN negeri. Janji untuk memberikan lot tapak rumah telah kedengaran pada setiap kali musim pilihanraya namun setelah menang penduduk dibiarkan bersendirian.
Demikian antara keluhan kira-kira 50 orang penduduk kampung DBI, Ipoh, di hadapan bangunan SUK Perak pada 13 April lalu. Mereka mahu menyerahkan memorandum dan bertemu muka dengan Menteri Besar Perak Dr Zambry Abdul Kadir yang menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri bagi menyelesaikan masalah mereka. Namun pegawai di SUK tridak membenarkan penduduk menemui Menteri Besar kecuali wakil menyerahkan surat bantahan kepada pegawai MB
Kebanyakan yang menunjuk perasaan membawa sepanduk berbunyi ‘Menteri Besar Kotakan Kata’, ‘Lot rumah untuk penduduk Kg DBI’, ‘53 tahun Merdeka – tanpa rumah tetap’,‘Rumah selesa hak asasi rakyat’,‘1Malaysia, kroni didahulukan – tiada tanah untuk rakyat miskin’ dan pelbagai lagi.
Namun kemaraan mereka dihalang oleh 50 Polis Simpanan Persekutuan serta polis biasa yang mengepung SUK. Kemuncak bantahan itu polis menahan 14 orang dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Ipoh.
Bagaimanapun penahanan itu membangkitkan semangat solidariti dari kalangan penduduk kampung berhampiran seperti Kampung Baru Cina, pekerja ladang dan pekerja kilang. Mereka berhimpun di hadapan balai polis membawa sepanduk menuntut kesemua yang ditahan dibebaskan.
Akhirnya, polis membebaskan kesemua yang ditahan pada jam 4 petang.