Pakatan Rakyat (PR) mungkin menghadapi krisis dalaman jika ia berjaya mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum lepas, kata pemimpin DAP Lim Kit Siang.
Mengakui perkara ini, Ketua Parlimen DAP itu berkata, ini kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri bagi pakatan pembangkang yang kini tidak lagi berfungsi itu.
“Malah, krisis PR mungkin berlaku lebih awal jika ia berjaya memenangi majoriti kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 dua tahun lalu kerana Hadi tidak pernah menerima Anwar sebagai calon perdana menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tahun lepas, pemimpin PKR Rafizi Ramli berkata, PAS yang diketuai Hadi, menolak Anwar sebagai calon PR untuk menjadi perdana menteri dan sebaliknya, bercadang menamakan Tengku Razaleigh Hamzah daripada Umno untuk jawatan tertinggi itu.
Menyerang Hadi, Lim berkata usul PAS di muktamar baru-baru ini yang memutuskan hubungan dengan DAP adalah “kemuncak kepada segala kesabaran”.
Ini kerana, selama setahun, gabungan itu hanya wujud pada nama kerana Hadi melanggar prinsip gabungan itu – Rangka Kerja Dasar Bersama PR – dan prinsip operasi konsensus iaitu persetujuan semua 3 partinya diperlukan sebelum sebarang usul dibuat dan tidak seorang pun mempunyai kuasa veto membatalkan keputusan Majlis Pimpinan PR.
“Hadi bukan sahaja melanggar Rangka Kerja Dasar Bersama PR tetapi bertindak tanpa mengendahkan prinsip operasi konsensus PR seolah-olah beliau boleh mengatasi keputusan dibuat Majlis Pimpinan dan tanpa ragu-ragu membatalkan keputusan dibuat jawatankuasa kerja PAS Pusat,” katanya.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, sambil ramai yang mungkin sedih kerana PR kini tidak lagi wujud, tiada sebab untuk bermurung mengenai masa depan politik negara.
Walaupun PR tiada lagi, beliau yakin mereka yang mahukan perubahan boleh memastikan prinsip dan objektif PR terus kekal bermakna dan boleh dicapai.
“DAP akan bekerjasama dengan parti politik yang sealiran fikiran seperti PKR dan kuasa politik, termasuk individu, untuk membentuk sebuah gabungan baru yang teguh berpegang kepada prinsip Rangka Kerja Dasar Bersama PR dan objektif yang dilupakan kepimpinan Hadi daripada PAS.
“Kita harus bersetuju yang agenda yang pertama dan paling penting bagi gabungan baharu itu nanti ialah ‘tadbir urus yang baik’,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, dibuat pada satu majlis di Kluang pada Sabtu, DAP juga mengalu-alukan ahli terbaharunya, Sheikh Omar Ali, seorang bekas pemimpin pelajar dan aktivis.