Satu kenyataan media menyebut Ahli parlimen Petaling Jaya Selatan Tuan Hee Loy Sian akan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap PM Najib Razak pada sesi parlimen bermula minggu hadapan.
Kenyataan itu menyebut usul tersebut dibentangkan atas sikap tidak bertanggungjawab PM Najib Razak menerima dana sumbangan RM2.6 bilion yang meragukan dari penderma Arab yang tidak dinyatakan identitinya.
Derma juga, menurut kenyataan itu, tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib sebaliknya kepada Umno.
Usul itu juga akan menyentuh mengenai siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana “Special Task Force” yang sepatutnya menyiasat skandal utu dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan; pegawai SPRM dipindahkan; pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara; Public Account Committee (PAC) yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada empat anggota PAC yang terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri; Pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan; Timbalan Pengarah Cawangan Khas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan.
Usul itu juga menyebut Najib Razak telah menjejaskan imej negara di mata dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap Kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat.