DAP menyelar Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana mendakwa menteri pengangkutan itu tidak tahu menahu mengenai kontrak berbilion ringgit yang dianugerahkan kepada China Railway untuk Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Ia selepas Liow mempersoalkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menyifatkan nilai kontrak ECRL sebagai tertinggi di dunia berbanding pembinaan landasan kereta api di beberapa negara lain.
“Bukan ahli Parlimen pembangkang yang menyebut jumlah RM55 bilion sebagai kos projek landasan sepanjang 600km itu. Ia disebut Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak, yang mengumumkan nilai projek itu dalam Bajet 2017 yang disiarkan ke seluruh negara melalui televisyen,” kata Pua, yang juga setiausaha publisiti DAP, dalam kenyataan hari ini.
Najib berkata ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu sebelum berakhir di Tumpat, akan menelan belanja RM55 bilion.
ECRL yang menggunakan dana China merupakan sebahagian besar daripada 14 perjanjian bernilai RM144 bilion yang dimeterai ketika lawatan rasmi Najib ke Beijing baru-baru ini.
Bagaimanapun, Liow dilaporkan The Star sebagai berkata kerajaan masih dalam rundingan mengenai kos ECRL.
“Apabila kami melaksanakan projek itu, kami akan memberitahu kepada umum berapa sebenarnya kos setiap kilometer,” kata Liow yang mempertikaikan Pua.
Pua mempersoalkan sama ada kerajaan menganugerahkan kontrak itu tanpa terlebih dahulu mencapai persetujuan mengenai kos.
“Bukan sahaja kerajaan gagal memastikan tender terbuka dalam penganugerahan projek itu bagi memastikan pembayar cuka mendapat pulangan nilai wang mereka, Liow kini berkata kerajaan menandatangai kontrak berbilion ringgit dengan sebuah syarikat asing tanpa berunding harga projek itu!” kata Pua.
Pua berkata kerajaan perlu mendedahkan isi perjanjian yang dimeterai dengan China Communication Construction Company dan China Exim Bank, di samping kajian konsultan yang dilantik kerajaan mengenai projek ECRL itu. FMT