Kerajaan Pulau Pinang tidak campur tangan dalam hal berkaitaan fatwa, kata mufti negeri Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata demikian sebagai respons dakwaan PAS yang semua fatwa terpaksa mendapatkan persetujuan exco kerajaan negeri sebelum diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata fatwa Pulau Pinang dibawa ke majlis mesyuarat kerajaan negeri hanya untuk tujuan “pemberitahuan” sebelum ia dihantar ke pejabat penasihat undang-undang negeri untuk diperbaiki susunan ayatnya.
“Ia hanya untuk makluman sahaja. Setakat ini, belum pernah exco menghalang pewartaan fatwa.
“Apabila mesyuarat Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan untuk mewartakan sesuatu fatwa, maka ia terlebih dahulu dikemukakan ke dalam mesyuarat exco oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Ia kemudian dihantar ke pejabat Penasihat Undang-undang Negeri untuk diperbaiki susunan katanya dan selepas itu dihantar ke Istana Negara untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” kata Wan Salim.
Menurut beliau lagi, selepas ia memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong, SUK akan menghantarnya ke Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri untuk tujuan pewartaan.
Semalam, Ketua PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff mendakwa kerajaan negeri menapis fatwa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan ketua menteri.
Beliau berkata, dalam keadaan biasa, semua fatwa akan terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan bagi setiap negeri yang tidak mempunyai raja.
Pada sidang media yang sama, Ketua Pemuda PAS negeri Hafnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa fatwa Pulau Pinang tertakluk kepada penelitian exco kerajaan negeri kerana “kesan ke atas masyarakat umum”, antara lain.
Hafnan berkata ini berdasarkan penjelasan dibuat exco negeri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama, Abdul Malik Abul Kassim dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri.
Hafnan, yang juga bekas anggota Jawatankuasa Fatwa negeri mendakwa exco kerajaan negeri “menangguhkan” beberapa fatwa, sambil menambah langkah itu merendahkan martabat institusi Jawatankuasa Fatwa. FMT