ULASAN: Tindakan pemimpin dan penyokong Pas yang menyindir Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berterima kasih menerima bantuan RM50,000 kerajaan Kelantan memperlihatkan kecetekan pemikiran serta kurangnya akhlak anggota parti Islam itu.
Cara mereka mempersenda DAP seolah-olah Pas adalah parti suci dan itulah nasib DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden Hj Hadi Awang dan kemudiannya memusnahkan Pakatan Rakyat pada 2015 lalu. Seolah-olah DAP tidak mempunyai jasa kepada Pas berkempen menggalakkan pengundi Cina mengundi parti Islam itu dalam PRU 12 dan 13 sehingga Pas berjaya menang banyak kerusi di Perak, Kedah dan Selangor.
Hina Cina DAP
Daripada segi dakwah, apakah contoh akhlak Islam yang boleh ditonjolkan oleh ustaz dan daei Pas kepada bukan Islam apabila derma RM50,000 dan bencana banjir dijadikan bahan sendaan menghina ‘Cina DAP?’ Bukankah Nabi Muhammad s.a.w tetap berlapang dada dan tidak menghina kaum kafir Quraisy atau Yahudi yang sering menyakitinya di Mekah?
Jika dikira secara terperinci, sumbangan DAP dan kerajaan Pulau Pinang kepada kerajaan Kelantan yang menderita menghadapi banjir pada 2015 lalu jauh lebih besar daripada derma RM50,000.
Untuk rekod, Lim Guan Eng dan Kerajaan Pulau Pinang menderma RM250,000 kepada Kerajaan Kelantan melalui Exco YB Mumtaz di bawah Tabung Serambi Mekah; YB Husam Musa melalui Yayasan Darul Hijrah menerima 200,000 untuk bantuan membina rumah mangsa banjir; Adun Kelaboran YB Zaki Ibrahim mewakili Yayasan Amal Kelantan menerima bantuan Pulau Pinang RM200,000 dan NGO Royalti terima RM200,000 melalui Presidennya Nazri Deraman bagi menggerakkan misi bantuan. Ada juga persatuan-persatuan Cina dan NGO lain menerima peruntukkan bantuan. Jumlah keseluruhan bantuan kerajaan Pulau Pinang adalah RM1.5juta.
Selain itu, DAP juga berinisiatif mengutip derma melalui program Impian Kelantan untuk membina 60 buah rumah mangsa banjir. Kutipan derma juga dilakukan bagi membantu membina semula Masjid, tabung ini mencecah kutipan RM1juta. DAP turut menyumbang kepada Pasma Kelantan sebanyak RM60,000.
Namun DAP tidak mempersenda kerajaan Kelantan atas bantuan yang mereka berikan. Walaupun ahli DAP majoritinya bukan Islam tetapi akhlak mereka jauh lebih baik. Mereka amat sensitif dengan penderitaan mangsa banjir yang kehilangan harta benda serta orang tersayang.
Tentulah tidak adil jika DAP mengungkit ‘untuk apa undi Pas, Kelantan tidak mampu beri bantuan banjir kepada rakyat’ atau ‘jika benar Tuhan sayangkan Pas mengapakah Kelantan tenggelam?’.
Cakap besar Guan Eng
Sebaliknya, seorang pemimpin Pas Selangor yang viral kuliahnya di You Tube menyindir kononnya banjir di Pulau Pinang adalah bala Allah kerana penganjuran Oktoberfest. Akibat Lim Guan Eng cakap besar, sombong dan orang seperti itu tidak layak dipilih sebagai pemimpin. Beliau mungkin menyerang orang Islam yang menyokong DAP melalui sindiran seperti itu. Orang bukan Islam tidak akan mengaitkan bencana banjir dengan majlis minum arak atau cakap besar Ketua Menteri.
Jika beginilah akhlak pemimpin Islam maka semakin jauhlah bukan Islam daripada agama suci itu. Mereka akan berfikir Islam hanya eksklusif untuk penganut agama itu sahaja dan bukan ‘rahmatan lil alamin’. Malah apabila bencana menimpa, Islam dianggap membenarkan penganutnya menghina, mencela dan merendah-rendahkan mangsa yang tidak berdaya dan mengharapkan belas kasihan.
Musim tengkujuh belum tiba
Pemimpin, ahli dan ustaz Pas harus ingat tahun 2017 belum berakhir. Musim tengkujuh pada Disember dan Januari 2018 belum tiba. Nasib tidak baik, Kelantan dan Terengganu, kubu kuat Pas akan dilanda banjir sekali lagi.
Ketika itu jika DAP pula yang menghulurkan bantuan dimanakah mereka mahu menyorokkan muka? Adakah mereka akan menolak menerima bantuan daripada puak kafir harbi dan munafikin sebagaimana yang dilabel?
Rasanya bukan Pas yang perlu mendakwah rakyat Malaysia, sebaliknya rakyatlah yang perlu memberitahu bahawa orang yang dibenarkan masuk syurga adalah mereka yang tidak memiliki sifat kesombongan di hati mereka. Jadi janganlah mencaci, mencela dan merendahkan DAP dan para penyokongnya ketika menghadapi musibah.
Membantu dengan setulus hati sebaliknya akan mencerminkan akhlak unggul Islam. Bagi Pas, ingatlah cara dakwah lemah lembut yang diamalkan bekas Mursyidul Am parti itu Nik Aziz Nik Mat yang berjaya merebut kepercayaan bukan Islam dalam pilihan raya umum ke 12 dan 13.