Persempadanan semula yang dilakar oleh suruhanjaya pilihan raya dilihat akan menguntungkan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 dengan kawasan majoriti Melayu diutamakan.
Namun, bagi Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, persempadanan itu hanya boleh membantu BN jika keadaan ekonomi bagus dan rakyat mempunyai alasan kukuh untuk terus menyokong kerajaan sedia ada.
Sebaliknya, menurut beliau, jika keadaan ekonomi tertekan, sebagaimana yang berlaku sekarang tidak diperbaiki, maka berkemungkinan orang Melayu yang diharapkan mengundi BN akan beralih sokongan.
“Kita lihat ada akhbar menyiarkan laporan 50,000 pekerja bakal kehilangan kerja tahun ini. Ini bukanlah ini berita yang baik (untuk BN).
“Kadar jenayah seperti ragut dan rompak juga telah bertambah kebelakangan ini menunjukkan keadaan ekonomi semakin parah. Statistik yang memberangsangkan dan sentiasa diuar-uarkan oleh kerajaan amat berbeza dengan situasi sebenar di peringkat akar-umbi.
“Di pihak kita, pusat khidmat wakil rakyat Pakatan sering menjadi tempat orang datang meminta bantuan kewangan. Saya lihat keadaan semakin genting.
“Cuma yang membuat BN kekal kuat adalah orang kampung yang tidak tahu-menahu apa sebenarnya berlaku di dunia luar. Dan di kawasan kampung biasanya lebih banyak kerusi daripada kawasan bandar walaupun jumlah pengundi di sana adalah kurang,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Dibelit kesukaran itu, Kulasegaram berkata, persempadanan baharu yang akan digazetkan pada Februari atau selewat-lewatnya Mac 2018 pula bakal memberi cabaran yang lebih besar kepada Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, persempadanan itu mengutamakan kerusi luar bandar yang mana BN biasanya mendapat undi tetap (fix deposit) biar apa pun yang berlaku dan dilakukan oleh pimpinan negara.
“Persempadanan kali ini amat membantu BN. Misalnya kerusi bandar Parlimen Petaling Jaya Utara (kawasan Cina) mempunyai 150,000 pengundi manakala di Sabak Bernam (kawasan Melayu kampung) sekitar 38,000 pengundi sahaja.
“Ia adalah langkah yang betul untuk para pengundi PJ Utara memfailkan bantahan di pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” ujar Kulasegaran lagi.
Sehubungan itu, beliau mengakui herotan sempadan pilihan raya amat membantu BN dalam sekurang-kurangnya 4 siri pilihan raya lalu. Beliau memberi contoh Pakatan Rakyat dalam PRU 13 memenangi undi popular sebanyak 300,000 lebih daripada BN tetapi gagal menawan Putrajaya.
Semua perkara itu berlaku kerana pengundi bandar dilonggokkan dalam satu parlimen yang besar tetapi pengundi di luar bandar dipecah-pecahkan untuk mewujudkan lebih banyak kawasan parlimen.
“Di kawasan-kawasan BN, lokaliti yang kurang daripada 15,000 pengundi pun sudah menjadi 1 kerusi Parlimen. Bayangkanlah kalau 150,000 pengundi (untuk kerusi bandar) tentunya sudah 10 buah kerusi Parlimen di situ.
“Tidak boleh dinafikan bahawa BN menang disebabkan oleh jumlah pengundi yang tidak ditaburkan sama rata. Jurang perbezaan yang begitu besar dan ketara wujud di antara kerusi BN dengan kerusi PH
“Persempadanan baru pula bakal memberi masalah yang lebih besar lagi untuk PH. Kalau kita menang dengan majoriti undi sebanyak 100,000 pun kita hanya dapat 1 parlimen.
“Hal ini tentu menambah sukar untuk PH menang PRU 14. Cuma, kalau para pengundi semuanya bertekad menolak BN maka PH akan tetap muncul sebagai juara juga,” katanya Kulasegaran penuh harapan.