Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan tidak sepatutnya menggunakan alasan sibuk untuk menyiasat skandal Lembaga Tabung Haji.
Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, penyiasatan segera perlu dilakukan, tiada sebab untuk menangguhkan penyiasatan tersebut kerana ia melibatkan wang rakyat yang mahu menunaikan ibadah di tanah suci Mekah,
“Memang Jazlan banyak menyiasat kes-kes kerajaan termasuk 1MDB, namun beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu. Walaupun beliau sibuk sekalipun, tidak sepatutnya berkata begitu, ia memberi tanggapan bahawa isu ini remeh dan akan menimbulkan banyak tanda tanya.
“Isu Tabung Haji ini perlu diselesaikan segera kerana ia melibatkan wang rakyat yang mahu mengerjakan ibadah Haji di Mekah nanti, Tabung Haji ini memegang amanah rakyat tetapi dikhianati, kita mahu perkara ini dibongkarkan segera dan penyiasatan perlu telus,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai daripada Umno itu berkata sebelum ini bahawa PAC tidak bercadang untuk menyiasat mengenai pembelian tanah yang dibuat Tabung Haji pada waktu ini kerana terlalu sibuk.
PAC dijangka memulakan pendengaran ke atas 1MDB akhir bulan ini ketika Parlimen bersidang semula. Sesi pendengaran itu membabitkan siapa yang terbabit dalam penubuhan, pengurusan dan mengawal selia 1MDB.