Ahli jawatankuasa pemandu pemantau pilihan raya itu, New Sin Yew berkata, Bersih akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika ia menyekat laman web yang mempromosi dan menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan.
Ini kerana tegasnya, suruhanjaya tersebut melarang dan menyekat orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perhimpuan yang bakal diadakan nanti.
“Jika SKMM tidak menarik balik larangan tersebut bila perhimpunan itu diadakan, pihaknya mungkin mengambil langkah-langkah yang perlu selepas perhimpunan tersebut.
“Semua orang mempunyai hak kebebasan bersuara, seperti yang termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media Bersih 4 di Hotel Crystal Crown, di Petaling Jaya.
Tambah New, hak bersuara itu adalah termasuk maklumat, sambil menambah bahawa apa yang SKMM lakukan ialah menapis maklumat.
Sementara itu tegasnya, suruhanjaya tersebut perlu menunjukkan bagaimana berita mengenai Bersih 4 perhimpunan boleh mengancam ketenteraman awam atau prinsip moral awam.
“Jika mereka melakukan ini sewenang-wenangnya tanpa sebarang justifikasi, maka saya percaya orang akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap SKMM dan bawa ke mahkamah kerana semua orang mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat.
“Ini tidak masuk akal. SKMM tidak membuat keputusan apa yang kita lihat atau dengar,” ujarnya.
Laman sesawang yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan aman Bersih 4.0 akan disekat.
Perkara itu ditegaskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) yang menganggap Bersih 4.0 boleh mengancam kestabilan negara.
Dalam kenyataan pada Khamis, SKMM memberitahu, langkah menyekat laman sesawang itu juga lanjutan daripada kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penganjuran Bersih 4.0 baru-baru ini.