Ahli Badan Pemantapan dan Pemahaman Agama (BIPPA) AMK Pusat, Wan Ji Wan Hussin mengingatkan Ahli majlis Tertinggi Umno Tan Sri Annuar Musa supaya jangan mengikut jejak langkah yahudi dan selewengkan Islam dalam isu pro perkauman.
Tegasnya, Annuar Musa tidak sepatutnya mangaitkan Islam dengan perkauman adalah usaha merendah-rendahkan martabat agama Islam di hadapan penganut agama lain.
“Dalam al-Quran digambarkan kalangan yang mengagamakan bangsa adalah yahudi. Justeru, Anuar Musa tidak perlu mengikut jejak langkah Yahudi terutama apabila boleh merosakan imej Islam.
“Sebagai orang beragama Islam, sewajibnya Anuar Musa menonjolkan Islam sebagai agama yang memberi rahmat sekalian alam, bukan memberikan imej buruk pada Islam sehingga sanggup selewengkan islam yang kononnya pro perkauman,” katanya.
Sebelum ini, Annuar Musa menyatakan bahawa perhimpunan baju merah yang diadakan pada 16 September 2015 adalah sebagai rasis. Dan beliau menyifatkan perkauman itu dituntut dalam Islam bagi mempertahankan hak sesuatu kaum tanpa menzalimi pihak lain.
Tambah Wan Ji lagi, di Malaysia terdapat pelbagai agama yang dianuti, seperti hindu, buddha, kristian termasuk agama Islam. Semua agama-agama ini tidak menyeru kepada perkauman.
Malah jelasnya, dakwaan Nabi Muhammad pro perkauman adalah dakwaan yang jahat atas nama Islam.
“Ini kerana, dalam sirah menampilkan Nabi saw hadir mendamaikan Aus dan Kahzraj yang berbalah atas nama perkauman, lalu didamaikan sesama mereka atas keimanan kepada Islam,” ujarnya.