Menjelang hujung tahun ini dijangka banyak perniagaan kecil-kecilan seperti kilang perusahaan yang kecil dan kedai menjual ubat tradisional Cina yang akan menamatkan perniagaan mereka.
Hal ini dijangka berlaku kerana kos untuk meneruskan perniagaan sudah melambung naik disebabkan oleh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST – Goods & Services Tax) yang dimulakan pada 1 April lalu. Juga nilai ringgit yang jatuh menjunam menyebabkan kos mengimpot bahan mentah dan ubat tradisional menjadi amat mahal.
Tinjauan yang dibuat oleh wartawan Suara Pakatan Daily mendapati ramai usahawan kecil di kawasan Segambut, Kuala Lumpur berasa murung apabila bercakap perihal situasi ekonomi negara.
Malah, sebuah akhbar arus perdana berbahasa Inggeris tempatan bertarikh 3 Oktober 2015 juga melaporkan keyakinan para usahawan tempatan kini jatuh ke paras negatif.
Seorang pekerja kedai ubat Cina di kawasan Segambut, Wong Choy yang berusia 65 tahun memberitahu sekiranya kerajaan gagal menyelamatkan ekonomi negara maka keadaan akan menjadi sangat buruk selepas Tahun Baru Cina, Februari 2016.
“Sudah diramalkan oleh penganalisis ada kebarangkalian mata wang Amerika Syarikat akan naik sehingga RM4.80 untuk AS$1 sebelum hujung tahun ini, dan mata wang Singapura akan naik RM3.25 untuk SG$1. Keadaan akan jadi sangat susah,” kata Wong Choy. (ketika krisis kewangan Asia 1997, paras kejatuhan nilai ringgit paling teruk ialah RM4.71 untuk AS$1.)
Wong Choy juga membidas kerajaan kerana sehingga hari ini mengamalkan sikap “acuh tak acuh” dalam menangani masalah ekonomi negara.
“PM Najib selalu kata akan selesaikan masalah ekonomi dalam masa ‘6 bulan’. Dia kata ‘6 bulan’ sejak awal tahun ini, 6 bulan sampai bila ?” tanya Wong Choy dengan suara marah.