KENYATAAN MEDIA: PAS Kawasan Kuala Kangsar menyambut baik tema bagi Sambutan Maal Hijrah 2015 pada tahun ini, “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”. Tidak dapat dinafikan, Islam sebagai agama untuk semua dan bersifat ‘rahmatan lil alamin’, ketika ini apabila Islam sudah dapat dihadamkan sebagai satu sistem hidup dan boleh disesuaikan dengan siapa jua, maka sudah pastinya boleh menjadi indikator kepada keharmonian dan keamanan hidup. Oleh kerana perpaduan sangat penting bagi mencapai wujudnya sebuah Negara yang aman.
Nadi adalah satu definasi kehidupan yang bermaksud denyutan atau asas gerakan. Bagi sebuah Negara, ‘nadi’ ini boleh diumpamakan sebagai tali penyambung atau denyutan asas bagi meneruskan semangat dan iltizam kearah kejayaan. Transformasi digunapakai sebagai perkataan Melayu kontemporari, ia lebih membawa maksud sebagai pengislahan iaitu maksud berubah secara lebih meluas dan terbuka. Dengan perkataan lainnya, transformasi bermaksud perubahan total atau perubahan seluruhnya termasuk bentuk, sifat, sikap, minda, keadaan dan sebagainya. Transformasi juga diertikan sebagai reformasi.
Secara amnya tema Maal Hijrah tahun ini menjadikan penyatuan dan kesatuan sebagai tanda asas bagi perubahan tanah air kita. Sesungguhnya tema ini sangat berketepatan memandangkan rakyat Malaysia sudah dihadiah dengan beberapa habuan istimewa seperti perlaksanaan Cukai barang dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga minyak, kenaikan harga tol lebuhraya dan kenaikan harga barang sepanjang tahun ini. Habuan ini pastinya menjadikan rakyat merasa tertekan dan menderita terutamanya rakyat yang berpendatan rendah. Rakyat juga dihadiahkan beberapa isu pentadbiran yang pelik seperti ‘derma RM2.6 juta’, ‘kasih Panda’, semua ini adalah kebejatan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan yang sedia ada.
Maka perlunya rakyat benar-benar bersatu berpadu untuk menukarkan jerebu beracun pentadbiran BN ini bagi memastikan denyutan nadi rakyat ini dipimpin bagi perubahan kehidupan Negara yang penuh kebejatan ini. Kami mengajak semua rakyat Negeri Perak khasnya dan Malaysia amnya untuk bangkit dan berazam untuk berhijrah kepada satu kehidupan yang bersih dan tenteram serta aman.
Salam Maal Hijrah 1437H
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Yang DiPertua,
PAS Kawasan Kuala Kangsar.