Selama dua dekad Malaysia menjadi tumpuan pekerja tanpa skil daripada negara-negara Asean, khususnya Indonesia.
Namun dengan perkembangan terkini ekonomi negara yang kian merudum dan sebaliknya, ekonomi Indonesia pula semakin baik maka buruh dari negara itu berpendapat bekerja di negara mereka sendiri lebih berbaloi.
Rosnawati, 35, pekerja Indonesia yang bekerja di sebuah restoran di Kuala Lumpur berkata beliau akan pulang ke Jakarta selepas tamat kontrak pada Februari depan kerana perbezaan gaji yang semakin mengecil antara Malaysia dan Indonesia.
“Di bawah pentadbiran Presiden Jokowi, gaji minimum untuk pekerja kilang kurang lebih RM1,200 wang Malaysia.
“Justeru, saya akan cuba dapatkan kerja kilang di Jakarta, tak perlu datang ke Malaysia lagi,” ujar beliau kepada wartawan Suarapakatandaily.
Manakala seorang pekerja dari Myanmar pula menaruh harapan kadar gaji di negara asal akan setanding Malaysia selepas tokoh demokrasi Aung San Suu Kyi memenangi pilihan raya umum negara itu.
“Kalau Suu Kyi menang pilihan raya, saya akan balik ke Myanmar setelah kontrak saya di sini tamat setahun lagi. Sebab kemenangan Suu Kyi menandakan Myanmar sudah bersedia melangkah ke zaman ekonomi baru yang lebih maju,” kata Vinh Tuydt, 40 tahun, yang bekerja di sebuah rumah penginapan di Kuala Lumpur.
Kedua-dua orang pekerja dari Myanmar dan Indonesia ini memberitahu ramai rakan senegara tidak akan bekerja lagi di Malaysia selepas kontrak tamat kerana masa depan semakin cerah di negara asal.
Tambah Vinh Tuydt, “Saya mendapat layanan yang baik semasa bekerja di Malaysia.
“Oleh itu, jika pada masa depan rakyat Malaysia datang cari kerja di Myanmar, saya pun akan membantu mereka dan memberi mereka layanan yang baik juga.”
Dari pemerhatian Suarapakatandaily, kedatangan pekerja dari Indonesia dan Myanmar semakin berkurangan pada 2015. Hanya pekerja dari Bangladesh yang sedang berpusu-pusu masuk ke negara ini.