Adik kepada mendiang timbalan pendakwa raya Kevin Morais berkata beliau mahu bedah siasat kedua dijalankan ke atas abangnya kerana hasil prosedur pertama tidak jelas.
Charles Morais berkata punca kematian yang dinyatakan kemungkinan disebabkan lemas, dan ini akan membuatkan mereka yang didakwa dalam kes pembunuhan Kevin dibebaskan.
“Punca kematian ringkas (one liner), kemungkinan lemas. Tiada sebarang bekas pada badan.
“Saya ingin ketawa. Pertuduhan itu akan dibuang,” katanya pada sidang akhbar di pejabat peguamnya Americk Sidhu.
Enam lelaki didakwa berhubung pembunuhan Kevin, manakala ahli patologi Dr R Kunasegaran didakwa bersubahat.
Mayat Kevin ditemui dalam tong dram berisi konkrit itu dalam parit di Taman Subang Mewah, USJ 1, Subang Jaya, 12 hari selepas penculikannya pada 4 September.
Charles berkata apa yang membimbangkan ialah penemuan kabur pada laporan bedah siasat pertama, menjadi alasan beliau memfailkan permohonan di mahkamah pada Isnin untuk prosedur kedua.
Bagaimanapun, tanpa diketahui Charles, abangnya Datuk Richard Morais, pada hari sama menuntut mayat Kevin dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur tanpa memberitahu mana-mana ahli keluarga.
Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Disember untuk pengurusan kes permohonan Charles bagi menjalankan bedah siasat kedua.
Charles berkata beliau amat terkejut apabila pihak berkuasa di Hospital Kuala Lumpur dan polis nampaknya bersubahat dalam membenarkan mayat Kevin dikeluarkan dari rumah mayat oleh Richard apabila kedua-dua pihak tahu beliau (Charles) mahukan bedah siasat kedua dijalankan.
Charles mendakwa Richard adalah “pembelot” dan sanggup melakukan apa saja demi wang.
Dalam 18 halaman akuan berkanun (SD) yang beliau nyatakan pada sidang akhbar hari ini, Charles juga mendakwa Richard bersekongkol dengan penjenayah terbesar di Kuala Lumpur.
“Kevin memaklumkan kepada ketua polis negara beliau sudah tidak berhubung dengan Richard sejak 2004 dan tidak tahu apa-apa,” katanya.