Dalam pembentangan Bajet 2016 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengguna perkhidmatan telekomunikasi prabayar warga malaysia akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar dan jumlah itu akan terus di kreditkan ke dalam akaun prabayar mereka bermula 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.
Namun baru-baru ini telah viral di laman sosial satu surat pekeliling daripada sebuah syarikat telekomunikasi mendakwa sekiranya pengguna membeli tambah nilai prabayar berharga RM10, masa berbual yang diperolehi kurang daripada jumlah RM10 itu.
Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir berkata, sekiranya surat yang didedahkan tersebut benar, ini bermaka kerajaan telah menipu dan memperdayakan rakyat.
Katanya, tidak ada perberbezaan dengan pengumuman sebelum ini iaitu pengguna tetap akan membayar cukai atas pembelian isian semula prabayar.
“Kalau betul seperti yang didedahkan, maksudnya kerajaan tidak jujur. Isu GST terhadap kad prabayar sebaik-baiknya jangan cuba untuk diputar belitkan.
“Sekiranya perkara itu berlaku, bermakna cukai GST telah diserapkan ke dalam amaun RM10 yang dibayar,” katanya ketika dihubungi.
Akmal berkata, kerajaan perlu membuat penjelasan kepada pengguna yang mengguna kad prabayar kerana sejak diumumkan masih tidak ada sebarang penerangan diberikan oleh kerajaan.
“Kita tuntut supaya kerajaan perbetulkan kembali keadaan ini. Ini boleh dianggap menipu,” katanya.