Kira-kira 100 peserta menganjurkan demonstrasi protes kenaikan tol di plaza tol Sungai Besi malam tadi.
Menurut penganjur, protes yang diadakan di luar sebuah stesen minyak berdekatan lebuh raya utara selatan pada jam 11 malam itu berjaya menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa kenaikan tol tidak boleh dikompromi. Kenaikan akan menghakis wang perbelanjaan harian rakyat dan merosotkan kualiti hidup.
Salah seorang pemimpin protes, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata bahawa protes malam itu hanya satu permulaan.
“Siri bantahan, siri protes, demonstrasi sama ada besar-besaran ataupun kecil-kecilan, akan berlangsung selagi pimpinan negara tidak meletakkan negara pada landasan yang betul, untuk dibetulkan,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan satu bantahan seperti demonstrasi Lebuh Raya Kesas yang menyebabkan lebuh raya itu ditutup pada sekitar tahun 2000, akan dilakukan pada masa akan datang.
Antara yang berucap adalah Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda AMANAH Sany Hamzan, Ketua Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Edy Noor Reduan, dan aktivis DAP Young Syefura Othman.
Mereka bukan sahaja menekankan tentang kenaikan tambang tol di lapan lebuh raya, tetapi juga pelbagai isu termasuk kenaikan kos sara hidup terutamanya pengangkutan, skandal 1MDB , dan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Turut hadir dalam himpunan itu ialah Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin.
Para peserta protes itu mula bersurai secara aman pada kira-kira jam 11,45 malam, selepas ucapan berakhir.
Terdahulu polis mengingatkan bahawa bantahan itu menyalahi undang-undang kerana ia tidak mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa itu.
Kira-kira 200 anggota polis mengawasi himpunan #ShutdownSungaiBesi dan dilihat berkawal sepanjang pondok tol serta di sekitar stesen minyak berhampiran, termasuk beberapa anggota Light Strike Force.