Deklarasi Rakyat yang diusahakan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu perakuan yang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa sistem, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, ia terkandung dalam pengakuan personaliti pembangkang dan kerajaan institusi-institusi yang kini dirosakkan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN).
“Pengakuan Dr Mahathir ini tidak mengubah hala tuju Pakatan Harapan terutamanya berhubung pendirian mengenai bentuk-bentuk reformasi undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan, pendidikan dan sosial yang akan dilaksanakan Pakatan Harapan.
“Malah, pengakuan Dr Mahathir itu adalah satu penerimaan secara tidak langsung yang institusi kerajaan tidak bebas, memangsakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan kerana menjadi ancaman politik paling utama kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak,” kata Dr Wan Azizah.
Beliau membuat kenyataan itu pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di pejabat ketua pembangkang di Parlimen, hari ini.
Menurut Dr Wan Azizah lagi, deklarasi itu perlu dilihat berdasarkan persepsi yang betul iaitu ia adalah satu bantuan sokongan daripada Pakatan Harapan kepada Dr Mahathir dan ia bukannya satu bentuk bantuan dari bekas perdana menteri itu kepada mereka.
“Dr Mahathir tidak kuat dan beliau memerlukan bantuan kami,” katanya ketika ditanya tentang dinamik hubungan pembangkang dan Dr Mahathir selepas pemeteraian Deklarasi Rakyat.
Pada sidang media mesyuarat bersama pimpinan tertinggi DAP dan Parti Amanah Nasional (Amanah) itu, Dr Wan Azizah turut menegaskan yang Pakatan Harapan akan terus memperjuangkan pembebasan Anwar.
“Pakatan Harapan pada hari ini menetapkan agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama-sama agenda reformasi yang lain dalam usaha menyelamatkan Malaysia.
“Strategi 3 serampang ini – menuntut reformasi institusi, membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menuntut Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan – akan digerakkan secara bersepadu Pakatan Harapan dalam kempen kami di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah pada sidang media sama turut mengumumkan satu himpunan bagi menuntut pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diadakan pada 2 April sempena setahun pelaksanaannya.