Wanita KEADILAN yakin menang 6 kerusi yang dicalonkan dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.
Terdahulu, enam calon wanita KEADILAN yang berkebolehan di Batu Kitang, Simanggang, Tupong, Serembu, Marudi dan Simunjan.
“Sebagai Ketua Wanita, saya berbesar hati untuk mengatakan bahawa Insya ALLAH kami bersedia untuk menang Kami telah bekerja keras sebagai satu pasukan dan telah mengemukakan 6 calon wanita yang berkelayakan dan berkebolehan yang akan menjadi “suara hati” bagi wanita di dalam Dewan Undangan Negeri.
“Wanita itu secara semulajadinya adalah sopan, lemah lembut namun tetap bergaya dan tegas. Kita tidak mempunyai ramai ahli politik wanita, maka kita perlu memberikan sokongan yang penuh kepada calon calon wanita yang bertanding,” katanya yakin.
Menurutnya, rakyat Sarawak serasi dengan calon wanita KEADILAN misalnya Voon Shiak Ni bertanding di Batu Kitang manakala Norina Utot di Simanggang.
“Mereka sudah serasi akan kehadiran Voon Shiak Ni sebagai calon yang boleh menang kerana kerja-kerja yang telah dilakukan di kawasan tersebut. Banyak program-program rakyat yang telah dianjurkan termasuk kawalan banjir dan jenayah. Voon dapat sokongan yang baik dari pihak polis dan pihak berkuasa tempatan.
“Bagi kerusi Simanggang pula, calon Norina Utot, seorang Iban yang amat peka dan arif tentang masyarakat setempat di kawasan tersebut. Beliau memahami khususnya tentang kehidupan orang-orang Iban,” tambahnya memuji calon KEADILAN yang bertanding.
Bagaimanapun, Zuraidah merasa kesal dengan perundingan kerusi yang menyebabkan perbalahan tiga penjuru antara KEADILAN dan DAP.
“Mengikut Majlis Presiden Pakatan Harapan, semua rundingan kerusi sepatutnya dimuktamadkan dalam mensyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Wan Azizah sebelum hari penamaan calon.
“Saya ingin merakamkan rasa kesal saya terhadap perundingan kerusi yang mengakibatkan perbalahan 3 penjuru berlaku antara DAP dan Keadilan,”katanya.