Hakim Azhaniz Teh Azman Teh memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan.
Beliau menetapkan 14 dan 15 September ini untuk kedua-dua tertuduh memberi keterangan membela diri.
Abdul Rahman, 46, didakwa menggunakan surat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar yang mengandungi butiran palsu berhubung pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan bagi lapan program dalam kawasan tersebut yang tidak dijalankan untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM80,000.
Program tersebut ialah Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Jamuan Meraikan Pelajar Cemerlang SPM, PMR dan UPRS.
Ia turut melibatkan Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Kumpulan Rukun Tetangga (RT), Program Forum Perdana, Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi serta Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Guru-Guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Kesemua tuntutan palsu itu didakwa diserahkan kepada Mohd. Hamizar Sulaiman, Rizam Ismail dan Mohamad Fairos Johari di Pejabat Daerah Sabak Bernam, antara 21 Januari dan 12 Februari 2008.
Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi setiap pertuduhan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara Rosli, 43, yang dituduh bersubahat dengan Abdul Rahman pula didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta yang sama.
Ramai lagi bekas ADUN dan Ahli Parlimen dari Bn akan menghadapi dakwaan penyelewengan peruntukan khas ketika menjadi wakil rakyat dan menghabiskan wang rakyat sebulan sebelum BN tumbang di Selangor kepada Pakatan Rakyat Mac 2008.
Ini ialah bukti bahawa wakil rakyat dari kalangan BN telah tidak amanah semasa mengurus wang rakyat sekaligus mengenyangkan dan mengkayakan kroni mereka sahaja dan rakyat tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya dan apabila Pakatan Rakyat berjaya membela rakyat maka Bn berusaha memanipulasikan kejayaan PR tersebut.