Bahasa yang digunakan dalam ‘surat hadiah’ yang mengiringi karya seni kepada ahli perniagaan Jho Low dari sekutunya Eric Tan dan Tanore Finance Corporation seolah-olah mempunyai persamaan dengan surat yang dikatakan dari seorang putera Saudi yang menyumbang AS$375 juta kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika, ia menyediakan butiran mengenai apa yang termasuk dalam ‘surat hadiah’ itu, yang bertarikh 2 Oktober 2013, yang menyatakan surat itu ditutup dengan kenyataan:
“Semua karya seni yang dihadiahkan kepada anda tidak harus dalam apa jua keadaan ditafsirkan sebagai satu tindakan rasuah kerana ini bertentangan dengan prinsip saya dan/atau syarikat dan saya secara peribadi tidak menggalakkan amalan-amalan tersebut dalam apa cara sekalipun.
“Hadiah-hadiah itu adalah semata-mata sebagai tanda penghargaan dan saya berharap hadiah kepada anda itu akan menggalakkan anda untuk meneruskan kerja baik anda di peringkat global.”
Sementara itu, dalam surat yang dikatakan dari Putera Saud Abdulaziz Majid, bertarikh 1 November 2011, dan pertama kali didedahkan kepada umum oleh Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) pada bulan Mac tahun ini, ia juga membuat kesimpulan seperti berikut:
“Surat ini dikeluarkan sebagai tanda suci hati dan untuk penjelasan. Saya tidak mengharapkan untuk menerima sebarang manfaat peribadi sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada pemberian hadiah itu.
“Pemberian itu tidak perlu dalam apa jua keadaan sekalipun ditafsirkan sebagai satu tindakan rasuah kerana ini bertentangan dengan amalan Islam dan saya secara peribadi tidak menggalakkan amalan-amalan seperti itu dalam apa cara sekalipun.
“Ini adalah semata-mata tanda penghargaan peribadi dan saya berharap hadiah itu akan menggalakkan anda untuk meneruskan kerja baik anda untuk mempromosikan Islam di seluruh dunia.”
Ketika dihubungi Malaysiakini, pengarah eksekkutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata persamaan dalam bahasa antara kedua-dua surat tersebut adalah “mengejutkan”.
“(Ini) menimbulkan syak wasangka sama ada ia (surat-surat itu) mungkin telah dirangka dengan teliti oleh pihak ketiga yang terlibat dalam penipuan itu.
“Dalam mana-mana kes, peruntukan bahawa hadiah ini bukan rasuah, tidak membebaskan Low atau lain-lain benefisiari daripada mencuri wang rakyat dan dakwaan rasuah,” katanya.
Peguam Syahredzan Johan memberitahu Malaysiakini bahawa pengisytiharan jenis ini dalam surat tersebut, tidak akan membantu dalam tuduhan rasuah.
Pada akhirnya, kata beliau, apa yang penting ialah sama ada sesuatu tindakan boleh ditafsirkan sebagai perbuatan rasuah, tidak kira ada pengisytiharan bahawa ia bukan rasuah.