Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban memberitahu Umno Bahagian Semporna masih utuh dan berfungsi seperti biasa walaupun mesyuarat bahagian tersebut gagal dilaksanakan ekoran tidak memenuhi syarat.
Menurut sumber diperoleh portal media Malaysia Gezette (MG), bahagian itu kini tidak mempunyai ketua bahagian, naib ketua bahagian, pengerusi tetap, ketua wanita dan ketua pemuda kerana keluar kesemuanya didkwa keluar daripada daripada Umno bersama beberapa barisan ahli jawatankuasanya.
“Tidak tahu siapa yang hendak dipilih menjadi ketua kerana pemimpin yang ada hanyalah timbalan ketua bahagian Semporna iaitu Datuk Seri Nasir Tun Sakaran sedangkan ada juga dalam kalangan ahli yang mahukan Ramlee memimpin Umno Bahagian Semporna.
“Begitu juga dengan ketua wanita dan pemudanya yang masih belum ada pengganti apalagi barisan ahli jawatankuasa yang difahamkan tinggal dua orang yang masih setia bersama Umno. Akibatnya, mesyuarat tidak boleh diadakan kerana ramai yang berminat untuk mendapatkan jawatan yang telah dikosongkan itu,” katanya seperti dipetik.
Sebelum ini, jawatan ketua bahagian Umno Semporna disandang oleh bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, naib ketua Adun Sulabayan, Jaujan Sambakong, pengerusi tetap ialah Datu Eranza Datu Saribu, Ketua Wanita, Manismuka Dara dan Ketua Pemuda, Mohd Aziz Jamman.
Kesemua pemimpin itu telah mengambil keputusan keluar parti bersama Mohd Shafie yang digantung tugas sebagai naib presiden Umno kerana mengkritik presiden parti, Datuk Seri Najib Razak secara terbuka atas pentas parti pembangkang.
Kata sumber itu lagi, Umno bahagian Semporna perlukan suntikan baharu daripada kepimpinan pusat bagi menyatukan semula ahli-ahlinya yang kini dilihat seperti hilang arah.
“Saya tak tahu nak salahkan siapa tetapi masalah pelantikan kepimpinan Umno di bahagian ini mungkin perlukan campur tangan daripada Umno pusat. Kekusutan yang berlaku di bahagian ini mesti dileraikan secepat mungkin sebelum keadaan menjadi lebih teruk lagi,” ujarnya.