Bahana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mula menampakkan kesannya sejak Jun 2016, apabila jualan kereta import dan tempatan merosot. Jualan runcit juga mengalami kemerosotan 30% di samping berlaku penutupan industri kecil dan sederhana.
Seorang usahawan, Eric Teh, 60, memberitahu Suara pakatan daily kilang-kilang kecil di kawasan luar bandar semakin banyak menutup operasi disebabkan permintaan yang berkurangan bagi barangan kegunaan rumah tangga.
Masalah itu, katanya, berpunca daripada GST. Banyak pengilang ketika ini sedang bergelut dengan harga bahan mentah yang tinggi dan permintaan yang rendah.
“GST yang dibayar kepada kerajaan pada kadar 6% terlalu tinggi sebagai kadar permulaan. Kerajaan patut bertimbang-rasa dan mengumumkan penurunan kadar GST kepada 3% dalam pembentangan Belanjawan 2017 kelak. Mengapakah pengurusan ekonomi begitu tempang sekali sehingga GST perlu dimulakan dengan kadar 6%?,” tanya Eric.
Beliau juga berharap Belanjawan kali ini akan benar-benar membantu golongan yang berpendapatan rendah dan yang berpendapatan sederhana serta juga orang yang sedang menganggur.
Eric berkata, ramai ahli usahawan telah meramalkan situasi ekonomi tahun hadapan akan lebih teruk berbanding tahun ini. Menurutnya, kalau kerajaan tidak mengambil langkah serius maka jenayah seperti ragut dan rompak akan bertambah apabila ‘tiada jalan keluar’ untuk rakyat yang mengalami situasi bebanan hidup melampau.
Selain dari itu, surirumah yang membeli-belah di pasaraya juga mendapati banyak barang sudah mengalami kenaikan harga sejak beberapa bulan yang lalu.
“Satu tin sardin 230 gram kini sudah mencecah RM5.85. Tahun lalu sebelum GST dilaksanakan, ia berharga RM4.20.
“Semua harga sudah melambung naik. Matilah kalau gaji rendah dan ada 2 atau 3 orang anak yang sedang bersekolah,” kata seorang surirumah wargamas bernama Agnes Tan kepada Suara pakatan daily.