Semalam masuk hari kedua Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan membuat halangan masuk di kawasan penempatan Orang Asli Pos Tohoi di Gua Musang.
Sekatan jalan tersebut di dua lokasi iaitu melalui Pos Tohoi selepas jambatan besi berdekatan kawasan lapang dan melalui Pos Bering dari arah Meranto.
Seorang aktivis memberitahu, sekatan atas alasan perlunya permit untuk memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) itu turut disertai pihak syarikat pembalak yang hadir bersama kenderaan pacuan empat roda.
“Tengah hari tadi (semalam) budak-budak tauke balak (Datuk Roshaimi) ada datang dengan dua buah Hilux,” ujarnya.
Datuk Roshaimi Razak adalah Penasihat Persatuan Pembalak Negeri Kelantan yang sebelum ini dilapor menggesa masyarakat Orang Asli di HSK Balah supaya tidak menghalang syarikat konsesi daripada mengeluarkan kayu balak di kawasan itu.
Beliau juga menafikan dakwaan kumpulan Orang Asli di kawasan HSK Balah bahawa pihaknya melepaskan tembakan dan menggunakan kumpulan samseng untuk menakutkan masyarakat tersebut pada 28 September lalu.
Roshaimi yang dikenali sebagai Cikgu Ami dikatakan mewarisi legasi bisnes balak daripada ayahnya, Abdul Razak Abbas yang juga Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (KPKK).
Dalam perkembangan berkaitan, peguam Siti Kasim memberitahu pihak Jabatan Perhutanan Kelantan telah menaikkan papan amaran yang menyenaraikan 16 kesalahan memasuki HSK antaranya menduduki atau menjalani sebarang aktiviti tanpa kebenaran.
“Papan tanda baru didirikan yang berkesan menghentikan semua kelangsungan hidup Orang Asli di kawasan pedalaman,” ujarnya dipetik daripada catatan beliau di Facebook.
Semalam, lebih 100 Orang Asli terdiri daripada lelaki dan wanita berkumpul dekat halangan jalan dilakukan pihak Perhutanan itu.
Mereka yang diketuai Azmi Badol bersoal jawab dengan dua pegawai perhutanan yang beruniform perang dengan salah seorangnya bertopi, bercermin mata coklat dan sedang merokok.
“Dulu kenapa tidak dimaklumkan orang luar tidak boleh masuk? Kami jemput dia (Siti) sebab dia peguam kami,” ujar Azmi yang merupakan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).
Walau bagaimanapun, pegawai perhutanan itu memaklumkan tindakan mereka adalah mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 sambil menunjukkan helaian buku dipercayai menunjukkan peruntukan tersebut.
“Ini penguatkuasaan. Banyak orang luar masuk. Banyak orang awam (masuk),” ujar pegawai berkenaan dalam pertikaman lidah dengan masyarakat setempat itu dipetik daripada rakaman video yang dimuatnaik di Facebook Siti.
Tindakan pegawai perhutanan itu yang meminta kad pengenalan Azmi ketika soal jawab tersebut juga sempat dipersoal Siti yang turut berada di lokasi.
“Awak bukan polis untuk minta IC (kad pengenalan). Awak tidak ada hak untuk minta IC,” tegas Siti sebelum pegawai perhutanan itu menyebut, “kuasa untuk sita dan menyiasat” sambil menunjukkan peruntukan yang mungkin dimaksudkan di muka surat buku yang dipegangnya.
Walau bagaimanapun, Siti sekali lagi menegaskan, “hanya polis sahaja yang boleh minta IC” diikuti sorakan Orang Asli.
Terdahulu, sejak Rabu lalu lagi, pihak Perhutanan telah menghalang Siti daripada menghantar makanan dan bekalan kepada anak guamnya di kawasan penempatan Orang Asli berkenaan.
Alasan pihak berkuasa terbabit, Siti yang juga aktivis Orang Asli itu tidak mempunyai permit masuk seperti termaktub dalam Seksyen 47 (e) Akta Perhutanan 1984. Malaysia dateline