Dua tahun selepas BN merampas Perak secara paksa dari kerajaan sah Pakatan Rakyat, kerajaan yang diketuai Menteri Besar Dr Zambry Abdul Kadir bukan sahaja tidak berjaya mentadbir negeri dengan baik Umno Perak pula dilanda krisis persaingan pengaruh sesama sendiri.
Demikian didedahkan oleh Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Safarizal Salleh. Menurutnya, pergelutan dalaman Umno Perak semangkin parah berikutan kegagalan Dr Zambry Abdul Kadir mengawal serta bertindak matang di dalam memastikan pengurusan Umno Perak stabil.
“Konsep parti menguasai kerajaan tidak berlaku di dalam Umno Perak sebagaimana didedahkan oleh sumber-sumber yang rapat dengan Umno negeri itu.
“Akibat kesombongan dan sikap bongkak Datuk Seri Zambry terhadap Ketua Umno Bahagian yang hanya diberikan kedudukan sebagai Ahli Majlis Kerajaan Tempatan (PBT), menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau. Malah semasa kehadiran Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Utara Perak baru-baru ini, Ketua Umno Bahagian yang menaiki bas bersama Tan Sri Muhyiddin meluahkan perasaan tidak puas hati mereka.
“Malah semua saranan Ketua Umno Bahagian ‘dibakul sampahkan’ oleh Zambry. Disebabkan itu terdapat tiga kumpulan di dalam Umno Perak kini. Sikap megah di atas keperibadian diri sendiri adalah punca beberapa Ketua Umno Bahagian hilang hormat kepada Zambry. Ini termasuk (sebagai bukti) peranan Institut Darul Ridzuan (IDR), Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan YBU Holding yang secara tidak langusng telah mengambil alih peranan Anak Syarikat sedia ada,” kata Safarizal dalam satu kenyatan media.
Beliau seterusnya menyoal di manakah peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pertanian Negeri Perak (PPNP) serta potfolio setiap EXCO Kerajaan Negeri yang berkaitan.
“Tidakkah peranan IDR, YBUDR dan YBU Holding melebihi peranan PKNP, PPNP dan seorang EXCO Kerajaan Negeri? Malah Ketua Umno Bahagian yang tidak diberikan peranan merasakan kurang puas hati berikutan tindakan Datuk Seri Zambry tersebut. Malah Ketua Jabatan Kerajaan juga terkilan dengan beberapa tindakan luar kawalan yang turut dimainkan oleh IDR, YBUDR dan YBU Holding tanpa kawalan oleh Datuk Seri Zambry.
“Bagi kami, Datuk Seri Zambry boleh bertanyakan kepada semua Ketua Umno Bahagian di dalam Mesyuarat Umno Perak nanti. Sudah pasti usaha bagi menukar Datuk Seri Zambry menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 antara perubahan drastik bagi memulihkan Umno Perak yang semangkin tenat.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada yang menyalurkan maklumat krisis dalaman Umno Perak yang sebenarnya ‘retak menanti belah’,” akhiri Safarizal.