PAS hari ini meminta penjelasan tujuan kunjungan panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar yangh didakwa akhbar negara itu untuk memulihkan hubungan kedua-dua negara selepas kerajaan Malaysia menganjurkan Himpunan Solidariti Ummah.
Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata perdana menteri perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengapa Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ke sana.
“Akhbar Myanmar Times melaporkan Panglima Angkatan Tentera itu berada di negara itu untuk memulihkan hubungan kedua-dua negara.
“Ini amat bertentangan dengan sikap tegas beliau pada himpunan di Kuala Lumpur Ahad lepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Najib ketika berucap pada Himpunan Solidariti Ummah, Ahad lalu menganggap masalah Muslim Rohingya sebagai isu kemanusiaan yang wajib diperjuangkan.
Malah, perdana menteri juga tidak kisah jika ketegasan Malaysia dalam isu Rohingya akan menjejaskan hubungan dengan Myanmar.
Bagaimanapun, Iskandar berkata sikap ditunjukkan panglima ATM itu tidak akan memberi tekanan pada Myanmar, malah dilihat tidak serius memperjuangkan nasib Rohingya.
“Kecuali jika panglima ATM ke sana adalah untuk memberi amaran kepada pemerintah Myanmar,” katanya.
Pada himpunan sama yang turut disertai kira-kira 10,000 orang itu, Najib mengecam tindakan pemenang Anugerah Nobel Keamanan Aung Sang Suu Kyi yang enggan berjumpa wakil Malaysia bagi membincangkan isu hak asasi manusia itu.
Piagam Asean menyatakan negara anggota tidak boleh mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota lain, namun, piagam serantau itu juga mengingatkan anggotanya untuk mempertahankan hak asasi manusia.
Myanmar Times melaporkan, Zulkifeli bertemu Presiden Myanmar U Htin Kyaw dan ketua angkatan tentera Myanmar Min Aung Hlaing baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu, Aung Hlaing memberitahu Zulkifeli tiada pelanggaran hak asasi manusia berlaku terhadap masyarakat Muslim Rohingya.