Serangan bertali arus yang ditujukan ke atas DAP dan kerajaan Pulau Pinang merupakan petanda penting pilihan raya umum ke 14 (PRU 14) semakin hampir.
Menurut penganalisis politik dari sebuah NGO, Albert Kwok, serangan tersebut ketika ini lebih kepada perang psikologi bagi mengatasi kegusaran pemimpin Umno peringkat bawah bahawa mereka akan kalah lagi di kubu kuat DAP, di negeri tersebut.
“Serangan terhadap DAP kononnya kerajaan Pulau Pinang mengabaikan masyarakat Melayu adalah petanda yang jelas bahawa pemimpin Umno takut kalah dalam Pilihanraya Umum Ke-14 yang terpaksa diadakan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Albert mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak mempedulikan nasib masyarakat Melayu di sana.
Katanya, dengan kenaikan harga minyak dan minyak masak, kerajaan BN tidak yakin akan menang mudah PRU14 tetapi pilihanraya tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ekonomi negara sudah tenat.
“Saya berpendapat ramai orang Melayu di bandar tidak lagi menyokong BN kerana mereka pun menerima kesan kenaikan harga barang. Hanya orang Melayu di kampung yang masih sokong BN.
“Walaupun BN telah memenangi pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar tahun lalu, itu berlaku sebelum kenaikan harga.
“Justeru itu, saya pikir bukanlah senang untuk BN menghadapi PRU 14. Itulah sebabnya pemimpin Umno akan terus menyerang DAP dengan tujuan meraih sokongan Melayu.
“Hanya dengan taktik menakut-nakutkan Melayu barulah BN boleh menang besar. Tanpa isu rasis, BN mungkin kalah kali ini,” ujar Albert.
Albert turut menegaskan PM Najib tertekan memanggil pilihan raya awal kerana imej pentadbirannya yang amat teruk dicemari skandal 1MDB dan semakin banyak pesalah-pesalah berkaitan jenayah pengubahan wang haram berkaitan syarikat negara itu dibicarakan di luar negara.
“Pada saya, masa sudah suntuk untuk PM Najib mengadakan PRU14 sebab imej negara semakin terjejas dengan isu 1MDB. Walaupun sekarang timbul isu kerugian yang dialami oleh Bank Negara Malaysia awal tahun 1990an, isu itu tidak membawa kesan yang teruk kepada imej Malaysia sebab bukan isu ‘money-laundering’.
“Oleh itu, serangan terhadap DAP adalah strategi Umno untuk mengalih perhatian masyarakat Melayu daripada 1MDB
“Masalahnya, kalau kita terus sokong pemimpin-pemimpin yang suka memainkan isu perkauman atau pun menjejaskan nama baik negara, maka tidak lama lagi kita akan menduduki kedudukan yang tercorot di dunia,” tambah Albert yang menegaskan di mana-mana pun di dunia, pemimpin yang tidak baik akan dipaksa berundur seperti yang telah berlaku di Brazil dan Korea Selatan tetapi tidak di Malaysia.