Penggunaan Akta Kesalahan Kecil 1955 yang menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap lapan orang yang didakwa menyerang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad di kawasan Parlimen pada November tahun lepas akan menyebabkan rakyat memandang sinis kepada sistem perudangan negara, kata koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Saharin.
Beliau yang dikenali sebagai chegu Bard membandingkan hukuman ringan itu dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas dirinya dan beberapa aktivis SAMM ketika menganjurkan tunjuk perasaan aman dan penyerahan memorandum ke Parlimen pada 2013 lalu yang dikenakan hukuman denda RM6000 atau 9 bulan penjara.
“28 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan menolak rayuan saya dan 11 yang lain untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen pada 31 Mei 2016 lalu.
“Pada 24 Jun 2013, saya dan hampir 1000 yang lain berada di luar kawasan Parlimen Malaysia untuk menghantar memorandum membantah penipuan PRU ke 13. Beberapa ahli parlimen sudah pun bersetuju menerima memorandum “BLACK OUT 505” yang kami sediakan termasuk tandatangan jutaan rakyat yang dikumpul melalui jelajah BLACKOUT 505 di seluruh negara.
“Saya sendiri dan beberapa teman bertemu dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) bagi menyatakan hasrat kami. OCPD membenarkan himpunan itu (bukan mencabar polis),” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, menurut Chegu Bard, pada pukul 11 pagi polis memulakan tolakan dan berlaku tolak menolak serta beberapa orang ditahan. Suasana ketika itu seperti hilang kawalan.
Demi menenangkan keadaan, kata Chegu Bard lagi, beliau dan beberapa orang rakan mengumumkan menyerah diri dan naik ke trak polis secara aman. Tindakan itu menghentikan huru hara dan himpunan berkenaan berakhir dalam setengah jam.
“Di Mahkamah kami didakwa dengan dua pertuduhan, iaitu menyertai perhimpunan itu bagi melakukan mudarat awam di Jalan Parlimen antara 9.15 pagi dan 11.25 pagi pada 24 Jun 2013, mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
“Kedua, didakwa merusuh di persimpangan jalan masuk ke bangunan Parlimen pada 11.25 pagi pada tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Ternyata pertuduhan tersebut sendiri salah kerana jelas dibuktikan dalam video rakaman polis dan pengakuan OCPD sendiri menyatakan dari sekitar jam 9.00 pagi, OCPD membenarkan himpunan malah peserta himpunan dengan baik membantu pihak polis menyelia lalu lintas.
“Anehnya, pada 24 November 2016, sekumpulan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang diketuai oleh dua anak lelakinya sendiri masuk ke kawasan ‘keselamatan’ Parlimen Malaysia ‘merusuh’ dan menyerang Ahli Parlimen Shah Alam dikenakan hukuman ringan
“Dalam video, jelas berlaku aksi tolak menolak dan pukul memukul . Namun mereka hanya didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,” sindir Chegu Bard.
Sehubungan itu, beliau berkata tindakan tersebut hanya akan menyebabkan rakyat melihat sistem sistem keadilan di Malaysia tidak memihak kepada penentang kerajaan BN. Persepsi itu tidak sewajarnya berlaku di dalam sebuah negara yang telah 50 tahun merdeka.