Sambutan Ponggal Negeri Selangor yang berlangsung dada 30 Januari lalu di Little India, Jalan Tengku Kelana, Kelang berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records.
Sebanyak 1210 periuk juadah ponggal berjaya dihasilkan. Jumlah itu merupakan yang terbanyak dimasak dalam mana-mana pesta ponggal di Malaysia. Ia berkat hasil kerjasama peserta-peserta dari seluruh negeri Selangor serta beberapa NGO dan jawatankuasa kuil. Mereka bekerja keras mengumpulkan tenaga kerja, menguruskan logistik serta menyediakan bahan dan perkakasan yang diperlukan.
Sambutan Ponggal tersebut dimeriahkan dengan kehadiran Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar dan pemimpin-pemimpin kaum India yang turut meraikannya seperti ahli parlimen Kelang Charles Santiago dan ramai lagi. Lebih 4,000 orang masyrakat India hadir pada sambutan tersebut.
Dr Xavier Jayakumar mengucapkan tahniah kepada kesemua yang terlibat menjayakan program yang berjaya dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records itu.
Beliau juga melancarkan akhbar versi tamil kerajaan negeri iaitu Selangor Indru dalam majlis tersebut. Pelancaran akhbar berbahasa tamil ini adalah bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat terkini dan sebenar berkaitan program-program kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Selain itu, sumbangan cek juga diberikan kepada beberapa organisasi, antaranya RM4,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah dan Majlis Kanser Nasional sebanyak RM10,000.
Ponggal secara amnya diraikan setiap tahun pada bulan Januari oleh kaum India bagi mensyukuri rezeki yang telah diberikan tuhan dengan menyediakan juadah yang disediakan pada waktu pagi hari sambutan tersebut.