Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa Pas berterus terang mengenai rancangan masa hadapan parti itu dengan BN berdasarkan posting terbaharu Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria yang membayangkan Pas bersama BN akan membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang.
“Saya menerima banyak panggilan sejak pagi tadi mengenai satu perkongsian pagi ini oleh Haji Razman Zakaria, Pesuruhjaya PAS Perak yang diketahui rapat dengan YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.
“Saya sertakan perkongsian di laman Facebook Haji Razman melalui status Facebook beliau yang dinaikkan sekitar jam 9 pagi dan masih lagi berada di laman Facebook beliau sehingga kenyataan media ini ditulis jam 12:14 tengahari ini.
“Perkongsian itu sudah tentu menimbulkan keresahan kerana ia mengiyakan kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa ada anasir di dalam kepimpinan PAS sekarang yang masih berangan-angan untuk bergabung dengan UMNO (sama ada secara langsung atau melalui muslihat halus) dan mengambil alih Putrajaya melalui kerjasama sulit ini.
“Apatah lagi bilangan kerusi parlimen sebanyak 80 kerusi itu sama banyak dengan pengumuman terkini pimpinan terkanan PAS bahawa parti itu berkehendakkan untuk bertanding 80 kerusi Parlimen di seluruh Malaysia.
“Apabila ditambah dengan ucapan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sendiri sebelum ini yang menjadi tular tentang keinginan PAS untuk menguasai 5 buah negeri dan “membenarkan” UMNO berkuasa di negeri-negeri lain; kepimpinan PAS tidak lagi boleh membuat tidak endah kerisauan rakyat mengenai sikap PAS kepada UMNO,” kata Rafizi dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau jika perkongsian mengenai penggabungan PAS dan UMNO itu ditulis oleh seorang ketua cawangan PAS, hal itu tidak akan dihiraukan sangat kerana ia mungkin pandangan picisan.
Namun, kata beliau lagi, apabila dikongsi secara terbuka oleh seorang Pesuruhjaya PAS di negeri penting yang ingin dikuasai oleh parti itu maka perkara itu perlu mendapat jawapan yang jelas daripada pimpinan PAS Pusat.
“Sebab itu saya secara terbuka tampil dengan peringatan kepada Dato’ Seri Hadi Awang mengenai dana 1MDB yang mengalir dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib kepada seorang tokoh bekas pimpinan kanan PAS yang dilihat membawa agenda Kerajaan Perpaduan di antara PAS dan UMNO sejak bertahun-tahun lamanya.
“Perkongsian di status Facebook oleh Pesuruhjaya PAS Perak pada hari ini menimbulkan suasana mendesak supaya kepimpinan PAS Pusat membuat pendirian rasmi mengenai perkara ini.
“Jika benar PAS mempunyai strategi untuk bekerjasama dengan UMNO maka berterus teranglah kepada rakyat dan KEADILAN supaya mudah untuk rakyat menghakimi parti-parti politik di peti undi nanti
“Jika PAS langsung tidak berniat sedemikian dan perkongsian Pesuruhjaya PAS Perak itu hanya strategi peribadi beliau, maka wajarlah beliau diambil tindakan segera kerana “angan-angan” beliau itu boleh mendatangkan fitnah yang besar kepada PAS,” katanya.
Mengenai pendedahan identiti bekas pemimpin kanan Pas yang didakwa menerima dana 1Malaysia Development Berhad sebagaimana diumumkan beliau sebelum ini, Rafizi menegaskan satu sidang media akan dianjurkan pada esok bagi mengumumkannya.
“Saya akan menamakan tokoh bekas pimpinan PAS yang menerima dana 1MDB dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib yang disiasat dalam satu sidang media pada jam 1 tengahari esok (Khamis, 13 April 2017) yang akan disiarkan secara #FBLive di laman Facebook saya.
“Pada hari Jumaat, 14 April 2017 jam 11 pagi saya akan membuat laporan SPRM bersama-sama dengan maklumat yang saya perolehi di Ibupejabat SPRM, Putrajaya.
“Saya serahkan segala-galanya kepada Allah SWT dan rakyat Malaysia untuk menghakimi tindakan saya kerana niat saya adalah jelas: rakyat berhak mendapat maklumat yang jujur mengenai niat dan kedudukan setiap parti politik berhubung penyelewengan negara seperti skandal 1MDB agar mereka dapat membuat keputusan di peti undi secara adil,” katanya lagi.