Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin beranggapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kurang teliti dengan perkembangan parti itu sejak ditubuhkan sebaliknya mendakwa Bersatu pula tidak tentu arah dari segi kepimpinannya.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejak ditubuhkan Bersatu lengkap dengan perlembagaan, dasar dan perjuangan yang bergerak di seluruh negara dengan amat baik dan memberangsangkan di kalangan ahli akar umbinya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
“Bagi saya mungkin presiden Pas tidak mengetahui situasi dan keadaan sebenar, tidak ikuti kerana ada anggapan yang tidak betul.
“Saya tidak tahu pula mengapa Presiden Pas tidak tahu, mungkin dia yang tak teliti. Dia kata kita celaru, mungkin dia yang celaru.
“Agaknya dia fikir parti kita baharu sebab tu dia ada tanggapan sebegitu,” katanya ketika ditanya dalam sidang media Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Petaling Jaya, semalam. .
Semalam Abdul Hadi ketika sidang media di Muktamar Tahunan Pas di Kota Sarang Semut Kedah , dilaporkan berkata, Pas memutuskan tiada hubungan dengan Bersatu kerana parti itu bercelaru.
“Bersatu tak ada ketentuan arah kepimpinan. Tak tahu siapa makmum, siapa imam,” katanya.
Kata Muhyiddin lagi, tanggapan Abdul Hadi itu tidak menjadi masalah besar kepada Bersatu kerana kerjasama parti itu dalam Pakatan Harapan semakin baik.
“Ini jelas membuktikan mereka, rakan-rakan dalam Pakatan Harapan juga tahu matlamat perjuangan kami,” katanya. – MD