Majoriti belia Malaysia tidak lagi cukup bertenaga untuk mengambil berat tentang perkembangan politik semasa negara – satu perkembangan yang agak mengejutkan ketika demam pilihan raya umum semakin dirasai.
Ketua Pegawai Operasi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh berkata, meskipun terdapat banyak isu yang muncul dari semasa ke semasa, tetapi ia tidak dapat diterima dengan menyeluruh oleh belia.
“Walaupun terdapat banyak isu berat, terdapat rasa keletihan politik di kalangan belia,” kata beliau.
Beliau berkata golongan belia secara amnya tidak lagi membezakan pihak-pihak yang kelainan fahaman politik.
“Bagi mereka, ahli-ahli politik adalah sama, kesemua mereka (terlibat dalam) rasuah,” kata beliau pada forum Isu-isu Baru Di Malaysia Menjelang PRU14 di Pusat Wesley Legacy sini.
Menurut beliau, sikap acuh tak acuh tidak dibantu oleh hakikat bahawa isu-isu agama dan perkauman sering mendapat keutamaan dalam politik dan mempunyai kecenderungan untuk menguasai naratif politik negara.
“Isu-isu perkaumam dan agama akan terus muncul. Perkara-perkara kecil diperbesar-besarkan. Oleh itu, tidak ada mana-mana pihak (fahaman politik) yang mempunyai peluang untuk bercakap tentang isu-isu yang benar-benar penting,” katanya.
Beliau juga berkata, kecenderungan media untuk membuat liputan mengenai isu-isu seperti itu yang memperlekehkan kebimbangan lebih serius hanya memburukkan keadaan.
Justeru beliau menggesa golongan belia tidak tunduk kepada perasaan kekecewaan memandangkan ahli-ahli politik perlu diberi tekanan untuk melakukan perkara yang betul.
“Ahli-ahli politik bertindak ikut sentimen,” kata beliau sambil menambah, satu-satunya sebab PAS bergerak dalam soal hudud adalah kerana mereka fikir itu yang rakyat mahu.
“Ahli-ahli politik tidak mendengar suara rakyat dengan jelas. Jika suara jelas, mereka akan ikut sentimen (yang ada).
“Bagaimanapun, jika mereka tidak merasakan yang kedudukan mereka terancam, mereka tidak akan bergerak,” kata beliau. – FMT