Keharmonian kaum bukanlah keutamaan pentadbiran PM Najib Razak. Sekiranya PM itu mempunyai pemikiran sebagaimana 5 penjawat sebelumnya maka tidak akan berlaku insiden perkauman memalukan melibatkan ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong yang dihalang oleh pemuda-pemuda Melayu daripada memasuki bazar Ramadan untuk mengedarkan kurma.
“Kalau semangat muhibbah diberi tumpuan, insiden sebegini tentu tidak akan wujud. Saya perhatikan pada masa kini terutamanya di bandaraya seperti KL, nilai harmoni sudah tidak dipupuk.
“Apabila tiba masa perayaan sesebuah kaum, masyarakat tersebut sahaja yang merayakannya sementara yang lain pula menganggapnya sebagai hari cuti am,” kata Ramli, seorang wargamas berusia 70 tahun yang memandu teksi dikawasan Kepong, Kuala Lumpur.
Beliau berpendapat semangat 1Malaysia yang dulunya banyak diuar-uarkan oleh PM Najib tidak berjaya sama sekali kerana perhubungan antara kaum semakin renggang.
“Sebagai penyokong Pakatan, saya berharap Pakatan akan menekankan nilai keharmonian antara kaum semasa kempen pilihan raya umum nanti.
“Semangat muhibbah harus dimasukkan ke dalam manifesto PH selain daripada dasar-dasar untuk menurunkan harga minyak dan mansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
“Ramai orang sudah tidak mahu BN tetapi pada masa yang sama, kami perhatikan Pakatan pun belum bergerak mengatur langkah. Itu yang membuat rakyat biasa sedikit kecewa,” kata Ramli kepada Suara pakatan daily.
Beliau berharap selepas Hari Raya Aidil Fitri, PH menggerakkan kempen menyampaikan mesej mereka kepada rakyat biasa yang sedang menanti-nanti untuk mendengar berita mengenai perkembangan sebenar dalam isu politik negara kerana pada masa sekarang media arus perdana banyak menyiarkan hanya berita yang ‘remeh-temeh’.
“Pakatan wajar beraksi dengan lebih agresif kerana pilihan raya umum mungkin diadakan tahun ini.
“Pemimpin negara kita tidak akan memberi masa untuk PH membuat persediaan. Oleh itu, PH harus membuat persiapan awal supaya tidak akan terperangkap dengan masalah kesuntukan masa,” tambah Ramli.