Perlantikan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) serta ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin sebagai Ketua Wanita PH dipertikaikan pelbagai pihak.
Terbaharu, sebuah NGO pro-PH, Anti Kartel Movement (AKM) menyifatkan, perlantikan tersebut sebagai tidak wajar dan akan melemahkan PH pada jangka masa panjang berdasarkan tindakan kedua-dua tokoh politik tersebut di Selangor.
Penyelaras AKM, Syed Shafie Abd Rahman berkata, pemimpin yang masih mahu bekerjasama dengan Pas, yang telah memutuskan hubungan dengan PKR dan Amanah, tidak sepatutnya diberi jawatan yang boleh merisikokan hala tuju perjuangan PH.
“Mesyuarat Sekretariat PH pada 10 Ogos 2017 lalu telah membuat dua lantikan iaitu, Azmin Ali menjadi Pengarah Pilihanraya PH dan bekas Ketua Wanita PKR yang juga ahli parlimen Ampang sebagai Ketua Wanita PH.
“Kami dari gerakan Penyelaras Anti Kartel Movement (PAKM) menolak sekeras-kerasnya perlantikan dua pemimpin itu memandangkan kedua-duanya sejak awal lagi tidak pernah bersetuju dengan penubuhan PH, malah sehingga kini tetap mendakwa Pakatan Rakyat masih hidup di Selangor.
“Dengan sikap inilah kedua-dua pemimpin itu menjadi mastermind pengekalan pemimpin dan ahli-ahli PAS dalam pentadbiran Kerajaan Selangor.
“Oleh itu, kami menganggap perlantikan mereka ini hanya akan menjadikan PH lebih haru-biru pada masa depan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
PAKM juga menolak kaedah rundingan politik antara Azmin dan pasukannya yang digelar ‘kartel’ bersama Pas menjelang pilihan raya umum ke 14.