Pilihan raya umum ke 14 tidak mungkin dipanggil pada 2017, kata Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad.
Katanya, Najib sukar untuk membubarkan parlimen kerana kerajaan BN gagal menurunkan kos hidup yang melambung sejak setahun kebelakangan ini.
“Harga minyak yang tinggi dan harga barangan asas yang semakin meningkat memberi gambaran bahawa PRU14 mungkin akan ditunda ke tahun hadapan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Khalid menegaskan kegagalan kerajaan BN menurunkan harga minyak bukti pengurusan kewangan negara lemah dan hal itu akan menguatkan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi PRU14.
“Itulah sebab mengapa PRU14 akan diadakan pada tahun hadapan melainkan kalau PM Najib hendak menurunkan harga minyak secara mendadak 1 ataupun 2 minggu sebelum Parlimen dibubarkan. Kini sudah jelas bahawa situasi ekonomi semakin parah kerana harga barang asyik meningkat,” jelas Khalid lagi.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berjanji sekiranya PH menang harga minyak akan diberi subsidi secukupnya untuk membantu rakyat berpendapatan rendah.
“Pakatan mampu menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 seliter kerana kita tidak mahu menyusahkan rakyat. Dasar Pakatan mentadbir lain dari kerajaan BN. Kita mendahulukan nasib rakyat. PH juga akan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan untuk membantu rakyat,” sambung Khalid.
Beliau berkata, rakyat tidak akan termakan janji kerajaan BN kerana pentadbiran Najib didapati menipu menabur pelbagai janji pada PRU 13 tetapi dimungkiri selepas menang. Satu contoh yang telah terbukti jelas, katanya, kenyataan harga minyak tidak akan dinaikkan tetapi 4 bulan selepas PRU13, harga minyak dinaikkan pada awal bulan September.
“Rakyat sudah amat dibebani sekarang. Itulah sebabnya PM Najib tidak yakin BN akan mencapai prestasi yang baik dalam pilihanraya umum. Tidak tahulah kalau bulan Oktober mungkin Malaysia akan dapat pelaburan besar dari China. Jika ada, mungkin PRU14 tahun ini kerana kerajaan BN dapat memberi banyak ‘gula-gula’ kepada rakyat.
“Tetapi saya ingin mengingatkan rakyat jangan dipengaruhi oleh ‘gula-gula’ itu kerana manfaat darinya hanya boleh dinikmati selama 2 minggu semasa kempen sahaja.
“Lepas kempen selesai dan kertas undi sudah dipangkah, maka hidup rakyat akan kembali susah setelah ‘gula-gula’ itu ditarik-balik,” terang Khalid.