Tindakan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merobohkan dua rumah bekas pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang dan kegagalan kerajaan negeri khususnya menteri besar menghalang tindakan meroboh oleh pihak berkuasa tempatan itu menimbulkan rasa tidak senang seorang pemimpin AMANAH Perak.
Naib Pengerusi AMANAH Perak Dr Muhaimin Sulam (foto) dalam satu kenyataan mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang memegang tampuk kuasa bahawa persoalan rakyat walau sekecil mana sekalipun jangan dipandang ringan dan diabaikan.
“Menangguhkan kebenaran adalah satu kezaliman. Kita berada dalam era media. Kesilapan ahli politik bukan kerana kegagalan mendapat kuasa tetapi hilang jiwa dalam bertindak (action without soul),” tegasnya.
Beliau mengingatkan bahawa pemimpin politik berdiri di atas sokongan ahli bawahan.
“Jika kita mampu membakar semangat perjuangan dan meniup api kebencian pada musuh, jangan lupa untuk menyentuh jiwa rakyat bawahan tanpa kamera, tanpa pandangan manusia,” katanya.
Dalam kejadian pagi semalam, rumah keluarga Abd. Razak Said dan Yaakob Abdul dirobohkan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atas alasan menceroboh tanah milik Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB).
Dua keluarga terbabit sudah menetap di tanah tersebut lebih 30 tahun lalu atas kebenaran pihak masjid, pemilik asal tanah berkenaan.
Menurut Muhaimin, Razak dan Yaakub ialah dua aktivis lama yang berkhidmat tanpa nama dan jawatan.
Walaupun mereka tiada hak di sisi perundangan untuk terus tinggal di tanah tersebut, Dr Muhaimin kesal kerana isu ‘sekecil itu’ tidak ditangani secara bijaksana.
“Apa yang berlaku semalam (merobohkan rumah rakyat di laman rumah Tuhan) adalah mukadimah kegagalan sebuah kerajaan yang melindungi kepentingan rakyat biar atas nama dan slogan apapun.
“Usah dihalang suara kemarahan apabila keringat, airmata dan darah rakyat semurah air mengalir!” katanya.