Saksi pertama siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan 3 yang lain mendakwa pernah diberitahu seorang pegawai polis bahawa cara Koh diberkas pada Februari lalu menyerupai kaedah polis.
Roeshan Celestine Gomez berkata seorang pegawai penyiasat polis dari Kelana Jaya, Petaling Jaya, memberitahunya demikian selepas melaporkan kejadian itu, setelah melihat insiden penculikan itu berlaku di depan matanya.
“Dia kata jangan risau, kerana sedikit sebanyak ia seperti modus dilakukan pihak polis,” kata Roeshan.
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu, semasa beliau memandu sebuah kereta jenis Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.
Beliau ketika itu dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan penculikan dilakukan lebih daripada 10 lelaki yang tiba dengan 7 buah kenderaan di siang hari.
Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat.
Sehingga kini, masih tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.
Panel siasatan Suhakam hari ini terdiri daripada pesuruhjayanya, Datuk Dr Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, dipengerusikan oleh Datuk Mah Weng Kwai.
Siasatan itu bagi menentukan terma rujukan sama ada kes kehilangan Koh, aktivis sosial Perlis Amri Che Mat, paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, adalah seperti ditakrifkan Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan Semua Orang daripada Tindakan Penghilangan Paksa, atau ia adalah kes kehilangan sukarela yang melanggar undang-undang jenayah atau undang-undang hak asasi manusia.
Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November lepas. Manakala Joshua dan Ruth kali terakhir dilihat pada 30 November tahun lepas.
Dalam keterangannya, Roeshan berkata pegawai polis itu memberitahu penculikan Koh seperti operasi yang dilakukan polis.
“Ada beberapa sebab ia seperti itu, dilakukan di waktu hari terang, dilakukan dengan cepat,” katanya memetik pegawai yang tidak dinamakan.
“Bahkan pegawai penyiasat itu juga memberitahu pernah melihat sesuatu seperti ini.”
Tambahnya, pegawai polis itu juga kemudian menghubungi seseorang untuk bertanyakan sama ada pernah ada operasi sama di masa lampau.
Pengerusi panel siasatan itu bagaimanapun berkata, dakwaan cara Koh hilang seperti modus operandi biasa polis hanya dapat dibuktikan dengan memanggil pegawai penyiasat terbabit.
“Ia hanyalah cakap-cakap (hearsay) sahaja, tidak dapat dibuktikan selagi tidak memanggil pegawai penyiasat itu ke siasatan ini,” katanya.
Roeshan berkata, setelah lakukan laporan polis, beliau turut dipanggil untuk lakukan proses pengecaman mengenai suspek yang didakwa terlibat dalam penculikan Koh pada Julai.
“Setelah lakukan proses pengecaman, saya tandatangani satu dokumen yang menyatakan saya tidak dapat mengenal pasti suspek terlibat.
“Ketika itu, saya diberitahu bahawa pengecaman dilakukan kerana berlaku kes tembak-menembak, dan di sana didapati ada sebuah kereta seperti kepunyaan Pastor Koh,” katanya.
Tambahnya, sewaktu berada di lokasi kejadian kehilangan Koh pada 13 Februari lalu, beliau tidak melihat sebarang senjata api digunakan untuk lakukan penculikan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kereta Myvi yang dipandu Roeshan berada berhampiran tempat kejadian.
Roeshan turut dilihat mengundur keretanya beberapa meter sebelum meneruskan perjalanan, selepas kenderaan dipercayai dinaiki penculik Koh beredar dari tempat kejadian.
Graduan undang-undang berusia 25 tahun itu berkata, beberapa hari sebelum ke balai polis untuk melakukan proses pengecaman, tingkap keretanya dipecahkan individu tidak dikenali dan beg komputer ribanya didapati hilang di Kota Damansara.
“Di dalam beg berkenaan mengandungi kenyataan saksi yang saya sediakan untuk siasatan Suhakam, salinan kad pengenalan, dokumen peribadi dan nota kerja.
“Saya bagaimanapun tidak membuat laporan polis kerana fikir ia berlaku disebabkan kelalaian saya.
“Bagaimanapun, pada Julai, beg berkenaan dihantar semula ke rumah saya tanpa saya sedari. Semua dokumen masih ada di dalam beg berkenaan, kecuali fail plastik biasa.”
Katanya, kejadian itu menyebabkan beliau merasakan dirinya terancam.
“Saya ada berbincang dengan ahli keluarga, sama ada perlu atau tidak untuk saya tampil dalam siasatan ini dan kata sepakat dicapai, saya memutuskan untuk melakukan perkara yang benar dan tidak merasa takut,” katanya.
Siasatan hari pertama tamat dan akan bersambung esok dengan isteri Pastor Koh, Susanna Liew Sow Yoke dipanggil. – FMT