Ahli Parlimen pembangkang hari ini menggesa Petronas menarik balik semua pelaburannya di Myanmar susulan penganiayaan dilakukan kepada minoriti Rohingya di negara itu.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan lima yang lain mengetuai 41 ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), PAS dan Warisan menandatangani petisyen bantahan terhadap kerajaan Myanmar kerana “jenayah terhadap Rohingya”.
“Kami penandatangan petisyen ini, dengan ini menggesa Petronas melepaskan mana-mana dan semua penyertaan dalam sebarang bentuk operasi di Myanmar (perniagaan atau sebaliknya, pelaburan atau sebaliknya) berkuat kuasa 1 Januari 2018, melainkan dan sehingga kerajaan Myanmar mengiktiraf etnik minoriti Rohingya adalah warganegara Myanmar yang sah dan diberikan hak serta perlindungan diberikan kepada warganegara Myanmar lain.
“Dan segala bentuk intimidasi, penaklukan, diskriminasi dan jenayah terhadap mereka dihentikan serta-merta dan menyeluruh,” kata petisyen itu – TMI