Pencalonan Tun Mahathir Mohamad sebagai PM sementara Pakatan Harapan (PH) sekiranya berjaya merampas Putrajaya merupakan strategi yang tepat dan terbaik
Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamalludin berkata, strategi seperti itu perlu memandangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dipenjara ketika pilihan raya umum (PRU) ke 14 dilaksanakan dan PH perlu mempunyai personaliti yang kuat untuk menarik undi.
“Dengan mencalonkan Tun Mahathir sebagai PM, rakyat boleh nampak PH mempunyai wawasan dan halatuju. Tanpa calon PM, PH bagaikan pasukan bolasepak tanpa ketua pasukan.
“Walaupun ada penyokong PH yang tidak suka pada Tun, beliau hanyalah PM sementara kerana sudah pasti PRU14 akan diadakan sebelum Anwar keluar dari penjara pada Jun ini. Justeru itu, PH tiada pilihan dalam hal ini
“Saya harap rakyat akan beri peluang kepada PH untuk mentadbir negara selepas PRU14 sebab pemimpin Pakatan, tua dan muda, semuanya adalah orang yang berkaliber,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Mengulas mengenai tarikh PRU, Nizar tidak menolak ia akan diadakan dalam bulan Mac kerana tarikh itu paling sesuai selepas persempadanan semula diluluskan Parlimen dan sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadan.
“Saya rasa PRU14 mungkin akan diadakan sebelum bulan Mei. Mungkin pada Mac dan ada juga yang kata masih sempat untuk diadakan sebelum hujung Februari,” katanya.
Sekiranya PRU pada Februari maka kerajaan BN perlu memanggil sesi khas Parlimen untuk meluluskan persempadanan semula yang tertangguh akibat bantahan yang difailkan ke mahkamah oleh kerajaan Selangor.
Namun bagi Nizar, PRU memang semakin hampir kerana beberapa petanda telah pun kelihatan. Petanda itu, katanya, biasa berlaku sejak beberapa siri PRU lalu.
“Misalnya Bursa Saham Kuala Lumpur naik melebihi paras 1,800 mata, ini satu perkara yang biasa sebelum setiap PRU. Bursa Saham sentiasa menunjukkan prestasi baik waktu pra-PRU. Ia bukan satu perkara yang menakjubkan,” kata Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering.
Beliau berkata lagi, kerajaan kelihatan giat mengumpulkan sumber kewangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Dan hal itu boleh dikaitkan dengan belanja berkempen.
“Kini saya perhatikan harga RON95 telah naik sehingga RM2.29 seliter pada 4 Januari lalu sementara harga telur biasa juga naik menjadi RM3.99 untuk 10 biji.
“Biasanya kalau harga minyak naik, harga telur akan turun tetapi kali ini, harga kedua-dua naik serentak. Ini menunjukkan kerajaan sedang cuba sedaya-upaya untuk mengumpul wang sebelum PRU14 diadakan.
“Tetapi dengan menamakan Tun Dr. M sebagai calon PM, pasti PM Najib Razak akan merasa gentar. Buktinya beliau telah mengheboh-hebohkan bahawa Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat kerugian dalam dagangan matawang asing semasa era Tun Mahathir adalah cadangan Lim Kit Siang.
“Ini adalah strategi PM Najib untuk memecahbelahkan PH dengan cubaan merengangkan kerjasama di antara pemimpin dan penyokong Pakatan.
“Tapi jangan lupa bahawa Lim Kit Siang juga telah cadangkan satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat isu 1MDB. Jelas kedudukan PM Najib sudah tidak kukuh,” sinis Nizar.