Pakatan Harapan (PH) sudah menyelesaikan pembahagian kerusi di semua negeri kecuali Selangor, kata timbalan presiden gabungan itu Mohamad Sabu.
“Pembahagian kerusi di semua negeri telah selesai. Yang tinggal hanya kerusi di Selangor.
“Untuk semua negeri lain, pembahagian kerusi telah diselesaikan semalam (Khamis),” katanya di hadapan ribuan penyokong PH di majlis makan malam PKR Pulau Pinang di SPICE Arena malam tadi.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pembahagian kerusi yang sudah dipersetujui itu.
PH Selangor sebelum ini dilaporkan hanya mampu menyelesaikan pembahagian 30 daripada 56 kerusi negeri. Kerusi yang berjaya diagihkan adalah kerusi yang ketika ini disandang pemimpin DAP, PKR dan Amanah.
DAP pada waktu ini menguasai 15 kerusi, PKR, 13, manakala Amanah, 2. Keempat-empat parti tersebut masih gagal menyelesaikan 26 baki kerusi yang tuntutannya bertindih.
Mohamad yang juga presiden Amanah, berkata ini kali pertama parti pembangkang mampu menyelesaikan pembahagian kerusi sebelum pilihan raya umum dilangsungkan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata PH sudah menyelesaikan pembahagian kerusi Parlimen lebih awal lagi.
“Cuma (pembahagian) kerusi Parlimen di Sabah masih belum diselesaikan,” katanya.
Pimpinan pusat PH sebelum ini dilaporkan sudah mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi di negeri seperti Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.
Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan bahawa pembahagian kerusi di negeri-negeri itu sudah selesai, termasuk 40 kerusi negeri Pulau Pinang.
Di Pulau Pinang, 19 kerusi disandang DAP, 10 oleh PKR, dan satu oleh PAS dan selebihnya diwakili BN. PKR, Amanah dan Bersatu membuat tuntutan bertindih ke atas 10 kerusi yang dipegang Umno itu.
“Memang dah selesai secara dasarnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Presiden PKR itu bagaimanapun enggan mengulas bila akan butiran mengenai pembahagian kerusi untuk negeri itu akan diumumkan.
PH Pulau Pinang dijangka mengumumkan mengenai pembahagian kerusi pada 11 Mac semasa acara Jelajah Pakatan Harapan di Padang Kota Lama.
Acara ini bagi menyambut ulang tahun ke-10 pembangkang memerintah Pulau Pinang, sejak memenangi negeri itu dalam pilihan raya umum 2008. Pengerusi PH Dr Mahathir juga dijangka akan menyertai acara tersebut.
Parti-parti PH – DAP, PKR, Bersatu dan Amanah – akan bertanding sebagai satu gabungan untuk pertama kali.
DAP dan PKR adalah rakan politik lama sementara Amanah adalah parti serpihan PAS. DAP, PKR dan PAS sebelum ini bersama dalam Pakatan Rakyat sehingga ia dibubarkan.
Bersatu, yang paling baru menyertai PH, pula adalah parti yang terdiri daripada bekas ahli dan penyokong Umno dan dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Penyertaan parti politik baru itu sebagai sebahagian daripada PH telah menyebabkan pembahagian kerusi menjadi rumit.
Ia menyebabkan pimpinan PH di beberapa negeri meminta majlis presiden PH untuk menyelesaikan isu tersebut. – TMI