Seandainya Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa untuk satu penggal lagi, Malaysia mungkin dibebani hutang sehingga RM3 trilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Jumlah itu tidak mungkin mampu dibayar, tambahnya, bersyukur kerana rakyat Malaysia mengundi untuk membawa perubahan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Nasib baik kita dapat ubah kerajaan tepat pada waktunya, kalau tunggu lagi sepenggal kita tidak akan dapat diselamatkan.
“Kita baru sahaja mengelakkan ‘financial armageddon’, dan memang akan ada pengorbanan dan kesakitan yang perlu dilaksanakan dan perlu masa untuk kita atasi masalah itu,” katanya, dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight di pejabatnya, semalam.
Kenyataan Lim itu berdasarkan cara perbelanjaan kerajaan Najib yang mengakibatkan negara menanggung hutang dan pinjaman langsung sebanyak RM1 trilion oleh entiti lain yang dijamin dan perlu dibayar oleh kerajaan.
Sekiranya diberi sepenggal lagi, pembaziran gaya BN boleh menyebabkan pertambahan hutang kepada RM3 trilion dan tiada siapa akan tahu mengenainya, kata Lim.
“Kalau tak ubah kerajaan sepenggal lagi keadaan akan jadi sangat teruk, penipuan akaun, fail tersembunyi, dan banyak lagi, bayangkan penipuan yang berlaku,” tambahnya.
Guan Eng bagaimanapun berkata, kerajaan hari ini akan berupaya membayar hutang termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ini masalah besar, mereka kena tahu bagaimana masalah ini datang. Ini katarsis yang perlu kita hadapi. Bila kita bersihkan kita bergerak ke hadapan,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, dalam tempoh 100 hari pentadbirannya akan berusaha membongkar isu membabitkan skandal kewangan dan bergerak ke hadapan untuk memajukan negara.
“Rakyat kena faham bagaimana mereka ditipu dan apa kerajaan baharu akan buat untuk kita atasi masalah ini,” katanya.
Guan Eng turut berkata, kerajaan juga terpaksa menanggung hutang skandal mirip 1MDB namun dalam skala yang lebih kecil.
Sejurus mengambil alih Putrajaya, kerajaan PH mengumumkan hutang sebenar Malaysia berjumlah RM1.0873 trilion.
Jumlah itu nyata berbeza dengan kenyataan kerajaan BN sebelum PRU14 yang mengatakan hutang negara hanya berjumlah RM686.8 bilion.
Jumlah baru ini termasuk jaminan bagi entiti yang tidak mampu membayar hutang mereka, berjumlah RM199.1 bilion.
Ini termasuk Danainfra Nasional Bhd (RM42.2 bilion), Govco Holdings Bhd (RM8.8 bilion), Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 bilion), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (RM14.5 bilion) bilion untuk 1MDB. – TMI